BIODATA. rosnidar_ain@usm.my . 013-4805857

PUISI

9.1. Seorang Orang Tua.
9.2. Islamofobia,
9.3. Muntah.
9.4. Kopi Cap Gantang Vs. Kopi Pendatang.
9.5. PU
9.6. Dalam Bengkel.
9.7. Apabila Kemarau Dan Jerebu Datang Semula.
9.8. Si Pencuru Yang Dipercayai.
9.9. Lagu Tiga Kupang.
9.10. Babi Dan Harimau.

9.1.

SEORANG TUA

Dibina sebuah rumah lengkap segala

oleh seorang anak

tinggal berdiam dia seorang

menagih sayang rindu dendam

punya anak bukan seorang

lelaki dan perempuan,

lelaki dan perempuan,

banyak bilangan – gilang gemilang

pabila demam 

yang pulang seorang dua orang

yang profesor ada urusan

yang doktor dalam kecemasan

yang bisnes kejar pelanggan

yang miskin tak ada wang untuk pulang

Seorang tua itu sedang uzur

isyaknya sakit, cergasnya zohor

kadang mimpi mengganggu tidur

rindunya pada bungaan gugur

di atas batas-batas kubur

9.2.

ISLAMOFOBIA

Masygul pada sabda islamofobia 

menghunjam denyut atma

merejam ketamadunan

maka fobia

di mana-mana

di mata

di kepala

di suara

Fobia itu merebak amarah

membuak darah 

pada yang tidak bersalah

Mereka yang fobia 

mencipta dunia

tanpa menang

kerana tenang

tidak pernah datang

bagi penentang

9.3.

MUNTAH

Kronologi drama

muntah lintah 

berulang dan ulang lagi

ajuk dan ajuk lagi

jadi parodi mengejek diri

politik sakit menjerit-jerit 

atas sama atas

bertumpang tindih

yang bawah 

gadai peribadi 

yang tengah tunggu rezeki

tiada guna bergalang-ganti

naskhah sama tukar watak tukar wajah tukar posisi

ulang dan ulang lagi

ajuk dan ajuk lagi

jadi parodi menggonjak diri

9.4.

KOPI CAP GANTANG VS KOPI PENDATANG

Siapa yang meletakkan harga kopi?

Tempatan

vs 

Pendatang

Harga secawan kecil

vs

Harga seguni beras

Hirup kopi cap gantang

fikir hutang tatkala hujan

Hirup kopi pendatang

fikir hutang

untuk hidup senang

9.5.

PU

Kahwin halal kahwin curi

Bukan artis bukan selebriti

Galak berbini lagi dan lagi

Tersungkur disondol babi

Punya ilmu bukan calang

Quran hadis dalam tangan

janji cinta bulan bintang

tapi iman mudah kontang

PU

Manusia biasa

ada jiwa

mudah leka

bukan saja-saja

jatuh cinta

ikut sunnah 

pahala berganda

PU bukan artis bukan selebriti

PU ada dalam diri para lelaki

PU boleh ustaz boleh menteri

PU adalah seorang suami

– Penuntun Ukhrawi

9.6.

DALAM BENGKEL 

Dalam bengkel mengejar tradisi

mata di hadapan akal di tepi

antara kerja – keluarga dan hobi

mereka mengejarku mati

9.7.

APABILA KEMARAU DAN JEREBU DATANG SEMULA

Kita sentiasa diperingatkan tentang keadaan masa hadapan 

dengan lara tingkah-meningkah

kadang-kala hadir tatkala gerimis merembes 

matari jarang tersenyum dalam gemerlap sinar

hujan angin jadi lumpur jadi abu

bentala sudah malas jadi subur

sang gunung rela hancur

Kita alpa lagi dan lagi

-Hujan ke mana pergi?

9.8.

SI PENCURI YANG DIPERCAYAI

Seorang Pencuri diberi kunci

menjaga harta peribadi

kerana tiada yang lebih layak selain dia 

kononnya orang mencuri tidak akan mencuri jika dipercayai

Jadinya dia gembira diberi percaya

lalu bertekad menghargainya

harta benda dijaga sempurna

malah dijanjikan untung pula

Lama-lama mereka lupa

Si Pencuri ini bukan bijak berbicara sahaja

tetapi ligat akalnya

kemahirannya bukan mencuri semata-mata

kononnya arif timbultimbuskan harta 

dari merata-rata

maka percaya lagi mereka

berduyun-duyun menyerahkan harta 

punah akhirnya sekelip mata

Si Pencuri yang bijak mencuri, juga bijak memperdaya

dikatanya harta hilang kerana pelaburan

hilanglah berkoyan-koyan harta dalam jagaan

lepas lagi rezeki di tangan

Padan muka kami orang!

9.9.

LAGU TIGA KUPANG

Lagu tiga kupang

Sagu penuh padi

Enam ekor burung

Masuk dalam kuali

Tiba datang musang 

Darah makin enak

Taring jadi siong

rakyat korban diri

Todak muncung panjang

Tahan betis saja

Akal jangan hitung

Nyawa galang ganti

Suami pulang menang

Isteri idam mati

Keris jadi sumpah 

Muntah darah api

9.10.

BABI DAN HARIMAU

Hari ini babi dan harimau tidur di halaman rumah

hari esok datang lagi buka kunci pintu depan

alang-alang boleh jadi anak susuan

Rumah babi dan harimau sudah punah

bela babi lagi untung dapat habuan

bela lembu kambing asyik-asyik diculik orang

Makan babi sama haram macam dadah

minum arak bukan teguk kencing setan

benda jijik  baru seronok dalam khayalan

Orang kampung tak hairan babi harimau datang jengah

lagi hairan tamu datang bawa barangan

sudah biasa dalam dunia seorang-seorang

nanti mati pergi kubur sendiri berjalan 

Babi dan harimau cari rumah 

bukit bukau hilang sudah

apa nak hairan ramai kawan 

ada nak jadi babi 

ada nak jadi rimau 

jadi-jadian.

TAMAT.