BIODATA. Nama sebenar Mohamad Azmi Bin Ab Rahman.  Azmi Rahman adalah mantan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia (UUM). Azmi Rahman berkelulusan ijazah Sarjana Muda Sastera (B.A Hons.) Persuratan Melayu (Kepujian) dan Sarjana Sastera (M.A) Persuratan Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Diploma Penulisan (PLM) dan pernah belajar linguistik di Manchester University, England. Di UUM, beliau mengajar kursus Kesusasteraan Melayu, Pemikiran Kritis dan Kreatif, Komunikasi Budaya dan Apresiasi Seni Malaysia, dan Penulisan Ilmiah dan Kreatif. Azmi Rahman telah menghasilkan tujuh buah buku puisi perseorangan; Sebelum Musim Berakhir, Daerah Perjalanan, Gema Lembah, Wangsa Watan Merdeka, Taman Ilmu Di Rimba Hijau (Destinasi Ilmu, Budi, Bakti),  Pantun Tersurat dan Tersirat (Pantun Peribahasa), dan Horizon Pancaindera (Pantun Rencaman Tema. Selain itu, puisi Azmi Rahman telah diterbitkan dalam lebih 20 buah antologi puisi bersama, antaranya Gelombang 1,2,3 dan 4, E-Loka 1 & 2, Segenggam Tasbih, Sajak Pemenang Sayembara ASASI, Pepohon Perteduhan Cinta (Soneta) dan Musibah Gempa Padang, dan tiga buah buku ilmiah tentang sastera Melayu, iaitu Kesusasteraan Melayu: Dimensi Pemikiran dan Bahasa, Pancaran Makna Dalam Kesusasteraan Melayu, Diri Puisi & Interpretasi, dan Jom..Berpuisi (Pantun, Syair, Gurindam dan Soneta).  Lebih tiga dekad, Azmi Rahman terlibat dalam dunia sastera Melayu melibatkan pengajaran, kajian, pembentangan kertas kerja, penulisan karya, dan bimbingan penulisan kreatif. Azmi Rahman pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (Esei), Anugerah Penyair Alam Siber (APAS), Anugerah Pantun Siber, Soneta Siber dan Esei Sastera e-Sastera, Anugerah Buku Kreatif Terbaik UUM Press, Hadiah Puisi Kemerdekaan Kebangsaan (UUM),  Anugerah Citra Jasa Bakti Universiti dan Anugerah Inovasi Kreatif SEML UUM CAS, Anugerah Pensyarah Paling Kreatif Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA UUM, 2017 dan 2018). Azmi Rahman dilantik sebagai pembimbing puisi pada Dialog Puncak Karyawan ASASI 2015, 2016 dan 2017. Azmi Rahman adalah Ahli Jawatankuasa Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) mulai 2017 hingga 2018. Di UUM, beliau dilantik sebagai Pengerusi Saringan Karya Kreatif UUM Press, AJK Saringan Penerbitan UUM Press dan Penyelaras Bahasa Melayu Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA UUM).  Selain itu, Azmi Rahman banyak menyiarkan karya kreatif di jurnal sastera siber esastera2u.com dan di blognya TAMAN PANCAINDERA dan di Blendspace.   

PUISI

3.01. Busuk.
3.02. Persahabatan.
3.03. MesyuaratPerdana Di Rimba.
3.04. Rumah.
3.05. Versi Adat Air dan Angin.
3.06. Versi Adat Akar dan Akal.
3.07. Pujian Hanya Milik Allah.
3.08. Menjadi Padi.
3.09. Berita.
3.10. Jelira.

3.01

BUSUK

Di dalam perut diri, ada busuk sembunyi busuk. Asalnya yang tidak busuk masuk ke mulut. Apabila dikeluarkan daripada perut yang penuh, berbaulah busuk. Busuk! Busuk! Busuk!

Bau busuk itu tertusuk ke hidung. Busuk itu dihidu sendiri. Tutup! Tutuplah hidung! Usahlah bertanya, “mana busuk yang tidak berbau?”

Busuk dibuangkan busuk di dalam tong sampah. Busuk itu berbau dari dekat. Dari jauh juga. Sesiapapun tidak mahu mengaku. Busuk itu dibuang jauh-jauh.

Sembunyi busuk itu di dalam tong sampah. Kalau diri adalah kerbau, pastilah kerbau itu tidak akan membenci kubangnya yang berlumpur. Lumpur adalah diri kerbau. Diri kerbau dibaluti lumpur. Apa lagi yang boleh disembunyikan selama-lamanya.  Gembira kerbau itu dengan lumpur di badan.

Kini, aksara dan gambar busuk ditularkan tetapi tidak berbau busuk. Yang busuk adalah hati. Yang busuk yang tidak dibuang di dalam tong sampah siber.

Yang busuk berada bersama aksara dan gambar yang berbau wangi.  Namun, bagi yang busuk hati yang wangi pun dibusukkan.

Kian bertambah kian bertambah yang busuk yang busuk hati dan yang membusukkan.

Jitra, Kedah

3.02.

PERSAHABATAN

Betapa eratnya persahabatan antara siang dengan malam. Mereka bertemu tepat pada waktu tanpa ragu-ragu dan jemu. Dan berpisah jua tepat pada waktunya tanpa duka lara. Sepanjang persahabatan antara siang dengan malam, diisi hanya kesetiaan masa dan cahaya, tanpa prejudis dan emosi membuak. Jika sesekali siang tidak berwajah terang,  benarlah ungkapan siang, “Diharapkan panas hingga ke petang, tidak disangka hujan di tengah hari. Tidak disangka lagi hujan hingga ke malam.” Malam pula datang berjabat tangan dengan jujur. Pertemuan untuk perpisahan ini tidak sedetik pun dipertikaikan siang meski pun kolam masa siang dipenuhi lopak air hitam.

Begitu juga eratnya persahabatan antara matahari dengan bulan dengan bintang-bintang di taman langit. Persahabatan berkongsi cahaya matahari. Sesiapa  pun tidak merasa cemburu. Sesiapa pun tidak menyatakan ego di dalam diri. Kalau diikutkan hati matahari, katanya “Wahai bulan dan bintang-bintang, cahaya pada diri kalian adalah cahaya aku! Bulan purnama dipuja. Kejora dikatakan juara cahaya malam di hamparan taman alam.”

Persahabatan kita pula sukar menjadi seperti persahabatan siang dengan malam. Tidak juga seperti persahabatan matahari dengan bulan dengan bintang-bintang. Apa paksi persahabatan kita? Ada ketikanya dipertikaikan kesetiaan di akar diri. Menjabat salam kesetiaan di putaran waktu, jauh sekali. Malahan di hujung lidah diungkapkan pertemuan adakalanya menyakitkan. Perpisahan pula dipinta atas rasa gembira dan puas. Lalu, diri semakin jauh dan jauh dari ikatan persahabatan. Kita cuba membina taman persahabatan supaya mekar bunga pelangi yang wangi. Jika bunga itu layu dan hilang di mata, namun wangi dan seri warnanya abadi tersimpan di hati.

Sebenarnya persahabatan bukanlah permainan rasa yang bersilang teka-teki masa. Kembalilah kita kepada Allah yang mengatur setiap detik perjalanan persahabatan semua makhluk dan kejadian-Nya yang teramat sempurna.

Sintok, Kedah.

3.03.

MESYUARAT PERDANA DI RIMBA

Pengerusinya seekorang (seekor + seorang) gajah masuk kampung.Tiada siapa berani mematahkan gading kuasanya. Tiada siapa berani memotong belalai vetonya. Ahli-ahli terpilih mesyuarat dalam kalangan warga ekorang (ekor + orang) rimba pilihan seekorang gajah: Seekorang kera sumbang yang mambang. Dunianya adalah rimba yang gelap dari dahan ke dahan mencantum pengalaman. Seekorang kerbau dicucuk hidung. Talinya di kaki seekorang gajah. Suara yang mengalir adalah suara pura-pura dari hidungnya yang sengau dan hatinya terkunci. Seekorang kodok ditimpa kemarau, nampak tenang di sebalik resah kepanasan di rimba dingin. Siapa memanggil siapa? Hujan belum turun. Seekorang gajah tidak peduli. Seekorang kucing di atas titian. Suara tidak menentu warna. Nafas berkecai di ruang rimba. Tersilap langkah terjatuh ke jurang. Masih berjuang di atas titian masa? Seekorang kuda kencing di papan. Tiada mula bicara, kosong makna. Tiada akhir bicara, hilang makna.Tinggal hanya bau hancing. Kuda itu masih mahu berlari. Sekeping papan adalah dunianya. Seekorang kura-kura terlentung. Bicara sakit di rimba hukum. Mengharapkan warga ekorang bernafsu. Meniarapkan seekorang kura-kura. Pasti kalah dalam perlumbaan dengan ekorang singa. Seekorang kutu di dalam ijuk  sembunyi diri di rimba rambut kusam. Bicara dusta sembunyi di akar rambut. Menggigit dan menggatalkan kulit kepala. Menjelir lidah yang sering berkata ya, ya, ya. Warga ekorang kutu masih akrab di rimba rambut. Seekorang lalat buta mengusung najis dari longgokan sampah. Mengibarkan sayap khabar dusta. Telur keturunannya mencemari hati suci. Seekorang lalat buta berlagak persis seekorang lalat tahu arah tujunya. Seekorang katak banyak bermain hujan sedikit. Nampak rajin bekerja walhal tidak seberapa. Hujan di lopak semakin kering. Simpan suara di gua dan di longkang. Bermainlah dengan angin. Seekorang kelekatu masuk api. Keberanian menyerlahkan kebodohan. Menjauhi diri dari api bukanlah tanda berani. Terbanglah mencari cahaya malam atau menyerah diri pada api. Seekorang biawak yang tidak hilang kesatnya. Lidahnya bercabang, dan bicaranya songsang. Berkawanlah dengan warga ekorang biawak. Bicara di air bicara pula di darat tentang budi yang telah mati dan tentang jati diri bahasanya yang tenggelam di dua alam.  Seekorang anjing dengan seekorang kucing konflik idealogi salakisme versus meowisme. Siapa yang menang dalam percakaran kuasa? Warga anjing yang menyalak bukit. Warga kucing yang kehilangan anak. Seekorang anjing makan masak mentah. Kononnya melakari teladan masa depan. Sedapnya daging mentah diratah, bukan daging sendiri! Perhitungan waras adalah diri yang dibeli.  Seekorang ular dikutik ekor. Licik membeliti bicara kebenaran orang lain. Ekor sendiri dibiarkan bergerak-gerak. Di mulut berbisa terisi mangsa. Mesyuarat perdana belum selesai. Agenda rimba semakin menebal…

UUM Sintok

3.04.

RUMAH

Rumah kita dibina daripada aksara batu-batu  yang dikonkritkan menjadi dinding cerita. Rumah kita dibina daripada semangat bunga-bunga idea di ruang siber. Ini rumah menapak di penghujung tanah diri.

Rumah sejarah kita berdiri teguh di laman perjalanan usia. Rumah sejarah kita bercantum dalam keakraban setia dan cinta pada bahasa. Rumah suka duka kita di laman peristiwa.
Suka duka terbang dan melayang-layang ke petak peribadi.

Rumah air mata di kamar mimpi. Mimpi bulan.  Mimpi mentari. Mimpi bintang-bintang
Aksara doa pula membeliti di tiang-tiang harap. Singgah di bumbung menahan panas dan basah hujan.

Di ruang tamu rumah dihimpunkan aksara fikir rasa dari ruang terbuka. Jendela hari menguak panjang. Melepaskan angin sejarah ke rimba ingatan.  Angin dan aksara ramalan. Harapan muncul kejora baru.  Rumahku baru. Rumah kita pun baru.

Selamat datang ke rumah sejarah lama. Rumahku, rumah kita. Benarlah, rumahku
rumah kita pun sama: “History repeats itself.”

Sintok, Kedah.

3.05.

VERSI ADAT AIR DAN ANGIN

Adat air setitik, janganlah dilautkan. Biar pecah setitik air di tanah. Kering dibacakan lidah mentari. Adat tanah seketul, janganlah digunungkan. Biar hancur tanah dijilat lidah air. Air dan tanah bernafas di dalam diri. Lautan ada ombak. Gunung bukan menyeri angkuh.

Air susu dibalas dengan air tuba. Segelas air susumu, dibalas air tuba. Kau minum tapi kau tidak mati. Kau telah membaca firasat  hitam di padang pertaruhan ini. Biarlah air yang jernih, sayak yang landai. Nampak bayangmu di cermin air. Kau impikan sayang yang landai meskipun hanya setitik air yang jernih. Kau faham, kau adalah air yang tenang. Jangan disangka tiada berbuaya.

Angin tak dapat ditangkap. Asap tak dapat digenggam. Kau masih ingin menangkap angin di padang lautan ternganga. Tiba di pantai, angin bersembunyi di celah batu. Tiba di pantai, angin menyatu di pasir. Kau masih ingin menggenggam asap. Matamu telah pedih dan berdebu. Asap dari segenap penjuru menyerangmu. Ada suara sembunyi ingin membutakan matamu. Asap menjadi racun.

UUM Sintok, Kedah

3.06.

VERSI ADAT AKAR DAN AKAL

Akar terjumbai tempat siamang berpegang. Dahan menganjur tempat tupai menegun. Akar tidak menjunam ke hati bumi. Akar menunjuk diri berani bertemu dengan pohon-pohon kebenaran. Dahan pula bersiap teguh menggantung bulan.

Akal akar berpulas tak patah. Akar reput akan patah. Belum membeliti lidah berapi. Belum berpulas sedia patah. Dibakar api menjadi debu.

Akal labah-labah di gua buruk suka merakut. Kau bukan labah-labah itu. Sembunyi malam dari siang. Sembunyi riuh dari sunyi. Keluarlah dari gua buruk itu.

Akal menampi, jangan tumpah padinya. Padi yang tumpah adalah benih generasi. Kau harus berhati-hati dalam perjalanan panjang. Menampi sang semut padi yang berbudi.

Angan-angan menerawang langit. Ingin kau menggapai bintang. Cahaya berbalam di sebalik mentari. Kau terhenti di ranting malam memerhati bunga-bungaan subuh menguntum.

Adat bertentu, bilang beratur. Berpegang pada landasan prinsip. Menyongsang angin menikam diri. Usah membilang dari belakang. Usah berpandukan kitab sesat.

Akal gajah terdorong di kelir kehidupan. Sang gajah memijak sang semut. Bijak sang semut mencari lubang telinga gajah. Sang semut patahkan gading kuasa dan kaki sakti di hujung sebuah kehidupan lusuh. Nanti sang gajah meriba nota penyerahan.

Ada kerak ada nasi. Kau tidak makan kerak. Kau makan nasi yang tak berkerak. Kerak itu payah dibuangkan dari periuk hati. Api apa yang membakar hingga nasi berkerak?

Ya, kalian pun benci pada kerak nasi.

UUM Sintok, Kedah

3.07.

*PUJIAN HANYA MILIK ALLAH

Aku membuang egoku. Aku membuang pemujaanku terhadap makhluk ciptaan-Mu. Aku membuang pemujaan terhadap diriku –  pangkat, ilmu, harta dan darjat. Aku membuang semua pemujaanku kepada hal-hal lain selain Allah.

Hanya Allahlah yang layak dipuji. Aku memuji-Mu, ya Allah. Pastinya menimbulkan kebaikan dan kemuliaan kerana Allah adalah Zat Yang Esa. Allah Yang Maha Benar. Allah Yang Maha Bijaksana. Memuji hanya kepada Allah. Kebaikanlah segala-galanya.

Pintu rohani tertutup jika pujian hanya kepada makhluk ciptaan-Mu. Pujian di tempatnya iaitu hanya kepada Allah yang memberikan seluruh kebaikan-Nya kepada aku.

Segala pujian hanya milik Allah.  Aku ingin membina peribadi suci.  Aku membuang egoku.

Jitra
Disember 2018

*Inspirasi daripada Surah Al-Fatihah, ayat 2 bermaksud,”Segala pujian bagi Allah, Tuhan seluruh alam.”

3.08.

MENJADI PADI

Aku ingin menjadi seperti padi meskipun telah memperolehi kedudukan, pangkat atau kekayaan atau ilmu tetap bersikap rendah diri supaya tidak dibenci oleh orang lain. Aku hidup dekat dengan dunia padi meskipun ada yang tak pernah ke bendang atau kenal pokok padi. Aku tahu ada yang kenal hanya beras. Dimasak jadi nasi. Makan setiap hari dengan pelbagai lauk pauk. Padi  kekuningan persis emas, menarik di mata. Buah padi melebat. Semakin melebat semakin tunduk ke bumi. Kehidupan padi tidak seperti lalang atau enau dalam belukar yang bersifat sombong dan pentingkan diri sendiri. Tidak rugi jika bersikap seperti padi. Aku,  jika ada pangkat, apa salahnya bersama dengan yang tidak berpangkat. Aku banyak ilmu, tidak rugi berkongsi ilmu dengan orang lain. Lagipun ilmu yang dicurahkan itu akan bercambah. Jadi benih macam benih padi. Hidup subur. Jika sombong dan menyombong, tiada manfaatnya. Kalau yang faham resmi padi, fahamlah makna hidup. Selagi ada pokok padi, selagi itulah hidup menjadi.

Baling, Kedah

3.09.

BERITA

Baca berita. Berita entah apa-apa. Baca berita. Berita dusta. Baca berita. Berita fitnah semata-mata. Baca berita. Berita suka-suka. Baca berita. Berita buta. Baca berita. Berita saja-saja. Baca berita. Berita orang kita. Baca berita. Berita hentam ikut suka. Baca berita. Berita sensasi saja. Baca berita. Berita kontroversi pula. Baca berita. Berita hampas belaka. Baca berita. Berita duka lara. Baca berita. Berita boleh jadi orang gila. Baca berita. Berita semua tak kena. Baca berita. Berita susah nak percaya. Baca berita. Berita dalam dilema. Baca berita. Berita tak tahu hala. Baca berita. Berita propaganda. Baca berita. Berita tak boleh percaya. Baca berita. Berita bikin pening kepala. Baca berita. Berita orang jahat dipuji melata. Baca berita. Berita orang baik dikata dusta. Baca berita. Berita jadi keliru pula. Baca berita. Berita siapa reka? Baca berita. Berita ada agenda. Baca berita.  Berita celaka. Baca berita. Berita baik ada makna. Baca berita. Berita apa? Berita tutup berita. Berita apa? Berita buka cerita. Baca berita. Berita orang bakar berita. Baca berita. Berita orang marah-marah orang tulis berita. Baca berita. Berita jadi lebih membara. Baca berita. Berita tular melata. Baca berita. Baca berita. Berita la la la. Baca berita. Berita pantun tentang berita.

Pagi hari menuju ke kota,
Tiba di kota membeli joran;
Bosan sudah baca berita,
Mari kita baca al-Quran.

Julai 2017

3.10.

JELIRA

Kalian di gelanggang merdeka.  Tahun bila-bila pun Malaysia; gelanggang merdeka di helaian musim tahun berapakah? Segmen  Melayu  masih di petak kuasa demokrasi.  Suara sumbang dari gunung; tongkat Melayu mahu dipatahkan dan dialihkan ke petak keadilan. Melayu mahu dibebaskan dari penjara fobia dan trauma antara silu kuasa dan silat wang. Sang demonstran sesat bersorak-sorak – penjahanam bangsa katanya. Oh, dikejutkan halilintar sedar bahawa Melayu itu Islam dan Melayu itu berbahasa dan beradat Melayu. Oh, kalian menjadi pelupa bahawa bahasa Melayu dijelirkan lidah oleh Melayu. Masih tinggal baju Melayu.  Melayu sudah menjadi  1Malaysia, kemudian Malaysia Baharu. Kalian berasa jelira. Ah, ini gunung berapi bangsa, dan gempa bumi negara!  Sekian tahun Interlok diam menjadi gunung berapi. Lava sejarah bangsa mengalir di bawah kawah fakta. Geseran lapisan bangsa dan ideologi, bumi harmoni bergempa. Ah, jangan dibakar api bangsa! Kalian kembali terduduk di kerusi sedar Melayu itu. Sedangkan kalian menjadi pelupa kerana  asyik  mengira bidak-bidak di atas papan kuasa dan harta. Siapa pun belum mentafsir. Meneka lava dan gunung berapi itu mahu meletup.  Maniam sahaja yang mahu berdemonstrasi. Kata kau; sang sasterawan silap menjahit fakta lampau yang sudah terputus benang sejarah keturunan. Ah, kebaikan adalah manisan untuk menarik sang semut menghurungnya – akhirnya kalian pun terbuang dan mati di gelanggang tumpah darah sendiri. Seman itu Melayu ; pemuda yang kuat dan keras hati. Menjadi semut Melayu memakan manisan, kemudian membenci kemiskinan dan kebodohan. Ah, Cing Huat menaburkan manisan. Semut Melayu datang. Bidak kuasa boleh membeli ekonomi atau ekonomi boleh meracuni kuasa? Maniam kuli di kebun kelapa dan di kebun getah. Masing-masing menganyam daunan mimpi di mesra lidah ibunda. Seman tidur di atas bantal kemiskinan. Daunan mimpi terbang ditiup angin  buta huruf. Cing Huat tidur di atas bantal aksara duit dan frasa untung. Mimpi mahu menukarkan  warna pelangi bukan lagi milik Syaitan Putih. Maniam masih tidur di atas bantal kosong. Daunan getah kering yang berterbangan di ruang diri rendah. Mimpi hanya untuk mewarnakan ruang kosong dengan sedikit denyut nafas. Interlok versi 1Malaysia, pun Malaysia Baharu. Oh, Cing Huat  masih mahu bangkit – lena berbantalkan petak-petak Malaysia – belum diisikan dengan wang.  Seman – leka mengasap kemenyan; berasap Melayu dan mencium keris yang diperlimau. Dalam khayal, petak-petak kuasa dialihkan ke tangan syaitan. Menjual genggam kuasa untuk membeli tiket ekonomi. Menjual tiket ekonomi, menggadai gelanggang kuasa!  Seman, apa lagi yang kau miliki? “Ini sulat tanah kebun, ini sulat tanah sawah, ini sulat tanah kampong.” (hal. 55) …ini sulat hutang.” (hal. 56)…masa bodoh lu punya fasal (hal. 89).