11.09.

Mushaf Basah Merah

Halus merdu melagu Kalam di lidah
membisik mahfum di dada
menghayati hukum dan perintah
kagum sirah Anbia di surah aula
taat menyerah kepada Pencipta

Apabila Muazzin menyeru
Mushaf di tangan segera dicium
rihal mahu segera dilipat
tapi biar ketemu waqaf afdal sebelum Mushaf di tutup

Ketika dada masih berombak sendat terisi Kalam mulia
ketika Mushaf didakap ke dada
berdentum menembus memancut
Mushaf menadah basah merah

Syahid diidam manusia mulia
tiba tika tanpa duga
tiba tempat tanpa di sangka
tiba kala menatap Kalam Pencipta
tiba waktu melagu syahdu
tiba bila memeluk Mushaf di dada

Di maqam tertinggi Insya Allah dengan IzinMu jua.

ahkarim
As-Syajarah.. di hari Christchurch berdarah.

11.10.

Biar Kami Pergi

Segalanya seperti dijanji
walau berjuta menangisi
kerana kami telah bersumpah di setiap awal solat:
“Sesungguhnya solatku ini, ibadatku ini, hidupku dan matiku hanya sanya kerana Allah seru sekelian alam.”

Biar kami pergi
menyempurnakan ikrar
Dia telah Memilih kami dahulu
seperti Katanya: .. tidak sesaat awal tidak sesaat lewat(Al-A’raf-34)

Biar kami pergi
dengan darah menyimbah
dengan amarah sang pendusta
dengan doa mukmin berjuta

ahkarim..As-syajarah
31/3/19

TAMAT.