BIODATA. Nama sebenar Siti Nur binti Zainal. Nama pena CT Nurza. Berasal dari Jerantut, Pahang Darul-Makmur. Aktif menulis semenjak tahun 1989 sehingga kini. Karya-karya telah banyak diterbitkan di radio RTM, akhbar dan majalah arus perdana (1989-2018). Pernah bertugas sebagai penulis merangkap penolong pengarang majalah iK-Inspirasi Kejayaan Magazine isu 01-12 (Dis 2011-Ogos 2013). Menyertai lebih daripada 100 buah antologi bersama dalam pelbagai genre yang telah pun diterbitkan. Pernah beberapa kali menjadi pemenang utama dalam pelbagai pertandingan mengarang yang dianjurkan oleh radio rtm, akhbar, majalah dan laman sosial FB (1990-2017). Pencapaian terkini, “Pemenang Kedua” peraduan menulis sajak “Jasa Pendeta Za’ba” anjuran grup BeTA IBH (2016),  “Pemenang Kedua” Sayembara Gema Patriotik (genre) “Pantun Berkait” anjuran DBP Niaga (2016), “Johan Sayembara Puisi (genre) Haiku, Syair dan Pantun” anjuran grup SPTA (2016-2017), “Pemenang Saguhati” Sayembara Puisi DSN anjuran grup Dirgahayu Sastera Nusantara PS Numera Temasik (2017), Pemenang terbaik ulasan novel fobia (2017), Pemenang “Fiesta April” Wattpaders Malaysia 2018 “Short Story” (Kategori Paranormal), Pemenang Hadiah Saguhati (Penghargaan) Sayembara Menulis Puisi/Cerpen DPMP/PKPP 2017/2018 kategori cerpen anjuran Dewan Persuratan Melayu Pahang dan Pemenang Sayembara “Halloween Vault” Wattpaders Malaysia 2018 “Short Sory” Prompt Pesta Topeng. Antara buku Kompilasi Puisi yang telah diterjemahkan kepada Dwi-Bahasa “The Eternal Storm” – Sekali Air Bah, Selamanya Pasir Berubah terbitan E-magineers (M) Sdn. Bhd. & ITBM (2015) & Antologi Haibun Haiku Melayu berjudul “REGIS” (SPTA). Kini aktif menulis rencana sastera, ulasan buku, travelog kembara serta karya-karya eceran di akhbar dan majalah arus perdana Malaysia. Buku solo 2018, Kumpulan Sajak “Bak Bakawali, Mineral, Daun Lebar dan Kokila” (Terbitan Jom Sastera). Aktif mengikuti program-program sastera dan budaya bersama grup ZK-Nusantara semenjak 2015 sehingga kini. Jua, aktif berkarya di laman E-Sastera Vaganza.

PUISI

3.01.
3.02.
3.03.
3.04.
3.05.
3.06.
3.07.
3.08.
3.09.
3.10.

3.01.

TANAMAN PERUBAHAN

Tanamlah buluh
terapi untuk mata
daunnya hijau
batang dibuat lemang
rebungnya masak lemak

Tanam kelapa
santan boleh dijual
hidangan bubur
lidi buat penyapu
katak bawah tempurung

Tanamlah nenas
buat jem biskut raya
duit tambahan
untuk pekebun kecil
perbelanjaan dapur

Jika begini
idea yang diberi
apalah guna
buah fikiran diberi
saranan semakin ngeri.

CT NURZA
Malaysia
3 Mac 2019

  1. GAWAT

Gawat semakin gawat
adakala kehilangan rakaat
kesibukan setiap saat
alpa berkerja cuaikan solat
lupa zikir lupa selawat
kepada nabi mohon syafaat
kepada Allah mengharap maghfirah
namun amalan tidak bertambah
sikap tidak berubah-ubah
diuji Allah terkulai rebah

Gawat semakin gawat
dahulu ukhuwah begitu erat
kini tangan enggan berjabat
sirna bayang hilang kelibat
berdiri di saf tiada rapat
senyum tidak lagi memikat
bayangan dunia menerjah ke akhirat

Aduhai!
gawat bukan sahaja poket
ada duit fikir pun sempit
sempit menghulur terasa sakit
sakit iman tangan cacat
cacat memberi lebih menerima
meskipun menerima bukan yang hak
kerana tidak pernah layak
namun itulah tarbiah dari-Nya
menyedarkan diri tentang kasih-Nya
agar kita malu menderhakai Maha Pencipta.

CT NURZA
Port Klang, Selangor
30 Sept 2018
5:21 ptg

  1. RUBAI AKHLAK PEMIMPIN UMMAH

Pemimpin ummah jagalah adab
tutur bahasa jangan biadab
rugilah anda jadi khalifah
tidak berdakwah mengikut kitab.

Peribadi pemimpin biarlah murni
janganlah asyik begitu begini
andalah contoh teladan ummah
elok kepimpinan pasti disegani.

Jikalau menegur biar berhemah
tiada perlu sumpah seranah
lantang bersuara bukanlah tiket
lancang mengeji menutup ramah.

Tidaklah mudah jadi pemimpin
jikalau diri tidak terpimpin
baik buruknya dinilai diperhati
sampai saatnya tersingkap kain.

Berbongkah sesal menyebal hati
tegur menegur tidak seperti
bisanya lidah menyirap darah
tua dan muda tidak menghormati.

Kononnya niat ingin memperbaiki
tetapi malang berhasad dengki
lidah bercabang menyembur nista
kerana kuasa meluap emosi.

Kepada pemimpin yang dihormati
baiki elok budi perkerti
jadilah pemimpin jujur dan benar
sokongan pasti tidak terhenti.

CT NURZA
Port Klang, Selangor
3 Jun 2018
5:20 ptg.

  1. PANTUN MOTIVASI DIRI

Jalan berliku ke Tanjung Minyak,
denai terputus hala ke Labis;
bacalah buku sebelum nyenyak,
agar tercetus ilham menulis.

Memasak kurma belimbing besi,
hitamnya warna si asam jawa;
karya ulama’ berinspirasi,
indah dicerna menyejuk jiwa.

Memanjat ungka di pohon ciku,
bulan mengambang tampak gegelang;
jikalau suka membaca buku,
minda berkembang diri cemerlang.

Pisang di para mari disira,
puyu di paya sauk meronta;
jaga bicara beramah mesra,
tikar budaya khazanah kita.

CT NURZA
Port Klang, Selangor.

  1. GURINDAM MENUTUP KEBENARAN

Apabila kebenaran tidak disuarakan,
pincang kepimpinan dusta disorokkan.

Kebenaran itu teramat pedih,
lantang bersuara pasti tersisih.

Jika dibiar kebenaran dicalar,
tugas khalifah pasti diselar.

Kerana kebenaran kehilangan rakan,
berani bersuara dapat kutukan.

Ramai berdusta tutup kebenaran,
sanggup sekongkol cetek pemikiran.

Kala kebenaran sudah tersingkap,
tiadalah lagi kata terungkap.

Sorok kebenaran demi kepentingan,
jika tertangkap terbukti penyelewengan.

Amanah kepimpinan nyatakan kebenaran,
jaga kepercayaan fikirkan kewajaran.

Ketika ramai menutup kebenaran,
akan datanglah peringatan Tuhan.

CT NURZA
Jerantut, Pahang, Malaysia
02 Dis 2017
10:11 mlm

  1. SONETA: BUDAYA BULI

Budaya buli kian menjadi,
wujud tekanan di dalam diri,
berakar umbi jadi tragedi,
ada yang mati dibuli ngeri.

Sikap pembuli amat agresif,
gangguan mental celaru jiwa,
angkuh dan ego bukannya pasif,
gemar mengecam kala kecewa.

Tiada empati dalam diri,
persekitaran hidup negatif,
sering membenci menjadi ciri,
anasir buruk pelbagai motif.

Gejala buli wajar dibendung,
agar si mangsa dapat dilindung.

CT NURZA
Port Klang, Selangor
15 Julai 2017.

  1. SELOKA: BANGGA

Ramai berbangga rumahnya besar,
tak mampu bayar tanah dicagar.

Ramai berbangga kereta mewah,
rupanya kaya makan rasuah.

Ramai berbangga anak berjaya,
canang serata puji beriya.

Ramai berbangga isteri banyak,
nafkah terabai tidur tak nyenyak.

Ramai berbangga dikata hebat,
ghairah berhujah asyik berdebat.

Ramai berbangga bercucu cicit,
dikejar Ah Long tidak berdecit.

Ramai berbangga belajar tinggi,
rendah akhlaknya tidaklah ranggi.

Ramai berbangga kala dipuji,
habis dipuji pasti dikeji.

Ramai berbangga taat bersolat,
usai bersolat mulut mengumpat.

CT NURZA
Port Klang, Selangor
14 Julai 2017
12:32 PM.

  1. SONETA: SYAWAL MEMUGAR UKHUWAH

Syawal dirai kunjung mengunjung,
jauh dan dekat kita ziarah,
ramah dan santun pasti disanjung,
singkir lenyapkan dendam amarah.

Di pagi Syawal bertemu taulan,
imarah masjid solat jemaah,
hadirnya Syawal cuma sebulan,
bersama kita memohon maaf.

Serikan Syawal puasa enam,
puasa sunat tampung amalan,
sucikan hati niat ditanam,
tenang hidup damai berkekalan.

Syawal mulia membawa rahmat,
takbir menyatu seluruh umat.

CT NURZA
Port Klang, Selangor
11 Julai 2017

  1. SONETA: UKHUWAH AIDILFITRI 

Aidilfitri saat yang dinanti,
pulang bertemu ibu dan ayah,
yatim piatu kita dekati,
hulur sedekah buat jariah.

Di pagi raya kuih dijamah,
alunan takbir syahdu bergema,
saf dirapatkan bersatu ummah,
egat hubungan kita sesama.

Syawal mulia ayuh raikan,
doa ziarah kita iringi, 
pada yang kurang kita titipkan,
moga ukhuwah malar mewangi.

Aidilfitri disambut meriah,
nikmat disyukur Alhamdulillah.

CT NURZA
Port Klang, Selangor
19 Jun 2017

  1. SYAIR BAHASA MELAYU TETAPKAN MAJU

Salam takzim saudara saudari,
insan mulia lagi bestari,
di dalam syair inginku peri,
lebih dahulu kususun jari.

Bermula syair tentang bahasa,
mari bersama kita perkasa,
angkat tinggi martabat bahasa,
khazanah kita anaklah bangsa.

Bahasa Melayu sungguh indah,
menguasainya bukan mudah,
tatabahasa jangan diredah,
rosak jadinya aksara indah.

Bulan Oktober bulan bahasa,
kukuh eratkan berbilang bangsa,
berkomunikasi sentiasa,
acara disusun tiap masa.

Bulan bahasa sungguh meriah,
memupuk minat kanak sekolah,
bahasa Melayu jangan digugah,
andai digugah membawa padah.

Bahasa Melayu jangan rancu,
untuk warisan anaklah cucu,
letakkan ia di atas mercu,
terus mengorak jadi pemacu.

Ayuh piara bahasa kita,
biarlah ia berkembang rata,
tatanglah ia bagai juita,
juita hati di jiwa kita.

Bahasa jiwa terungkap nyata,
pusaka ibunda bak permata,
jangan telagah jadi sengketa,
genggam ia wasiat pendeta.

Duhai bangsaku marilah cakna,
bahasa kita amat bermakna,
tuturlah ia walau di mana,
elakkan ia dari perlina.

Syair bahasa tamat di sini,
terus bersama kita ladeni,
terap semangat jiwa insani,
bahasa Melayu indah seni.

CT NURZA
Port Klang, Selangor.
12 Oktober 2016