4. JENNY O

BIODATA. Jenny O ialah nama pena Noraini bt Omar, mantan pendidik. Jawatan akhir sebelum bersara sebagai Guru Penolong Kanan di SMK Sri Utama, Petaling Jaya. Anak jati kelahiran Kota Bharu, Kelantan. Lahir pada 2.1.1961. Mulai menulis karya sejak pulang ke tanahair setelah tamat pengajian BSc. Chemistry di England. Terus rancak berkarya sejak bersara. Disiplin sebagai seorang guru sains tetapi meminati karya sastera.

PUISI

4.01. Sonian: Anak
4.02. Cinquan Villa
4.03. Sonata: Perth With Love
4.04. Nuansa Alam
4.05. Musafir Lalu
4.06. Putih Mutiara
4.07. Raudhah Nabi
4.08. Tanka: Setia / River Stays Loyal
4.09. Purnama Berlalu.
4.10. Tanka: Langit Bebas

4.01.

Sonian:
ANAK

Engkaulah penghibur
tatkala sunyi
gelak tawa
mawaddah.

Engkaulah harapan
umi dan abah
hingga capai
graduan.

Engkaulah semangat
nyawa warisan
gigih cekal
berjuang.

Engkaulah penawar
menuju syurga
amal Soleh
mukminin.

Engkaulah pewaris
legasi kasih
hajat doa
zuriat.

Bangkok, 1 Februari 2019.

4.02.

CINQUAN VILLA

Rumah
tersergam mewah
menunggu musim cuti
penghuni sibuk mencari harta
kasih sayang belum tentu aman.

Dapur
serba lengkap
namun tidak berasap
isteri  dibelai bagai ratu
makanan lazat belum tentu berkat.

Laman
lanskap bergaya
pameran buat tetamu
itupun jika  ada keraian
rakan taulan  belum tentu  setia.

Harta
semasa hidup
rezeki anak isteri
belanja hingga lupa dunia
tiba ajal  belum tentu menafaat.

Kota Bharu, 2 Januari 2019.

4.03.

Sonata: 
PERTH WITH LOVE

Langit Perth damai nan biru
tanpa awan berarak lalu
Swan River mengalir lesu
nun di kaki langit bertemu.

Camar terbang bertamu
angin hembusan bayu
di Kings Park aku menunggu
jiwaku berlagu rindu.

Blue boat house kujejak jua
berswafoto momen  berdua
belayar bot laju  jiwa pun lara
Perth with love hangat terasa.

Perth skyline tersemat di dada
buat kenangan di hari tua.

Elizabeth Quay Perth, 10 Mac 2018.

4.04.

NUANSA ALAM

Pohon jarrah  putih terserlah
bersalin kulit di musim luruh
seusai  daunnya bertukar merah.

Pohon oak tersergam teguh
kanopi lebat buat berteduh
nyaman menghijau dari jauh.

Pohon tirus daunnya runcing
bersalut lilin menahan  kering
musim berganti tetap evergreen.

Cintai alam  variasi nuansa
bersilih musim aneka warna
tika dingin menunggu bunga
tiba panas merindui suasana
dedaun gugur ranting dipuja
lukisan lanskap Maha  Pencipta
bukan sekadar menghias lensa
syukuri nikmat tanpa alpa.

Margaret Swan Valley, 9 Mac 2018.

4.05.

MUSAFIR  LALU

Saujana mata memandang
terhampar luas terbentang
ceracak batu kapur bak tiang
panas gurun ia mengembang
kuncup tika malam menjelang
pecah luluh bongkah gelimpang
debu dibawa angin kencang
sepi, debu kuning gersang.

Subhanallah
pinnacles ciptaan Allah
beginikah  planet Marikh?

Salju putih di permukaan gurun
pasir  halus  membentuk  sand dunes
dibawa angin jadi menimbun
tiada tumbuhan walau sepohon
pengunjung  meriah sepanjang tahun
sandboarding bukan sekadar ditonton
dari puncak gelongsor turun
bersorak riang gelak bersantun
Allahu Akbar
Lancelin kurnian Allah
beginikah tundra Siberia?

Teroleng hanyut  katamaran
dipukul  ombak  beralun
lubuk rezeki  sang nelayan
pelanggan datang berduyun
dari jauh mencari hidangan
lobster tarikan  restoran
nikmati kesegaran  lautan
terpencil bersama teman.

Alhamdulillah
Cervantes nikmat Allah
beginikah pulau Mykonos?

Mirrabooka Perth, 6 Mac 2018.

4.06.

PUTIH  MUTIARA

Enam sekeluarga sudah sepakat
berjubah putih memasang niat
ziarah dahulu tempat keramat
hening subuh menaiki pesawat
zikir dan doa saling berhambat
menuju Makkah bumi berkat.

Jubli perak sudah berlalu
Jeddah kudatang bertamu
kembali mencari redha-Mu
saat terlihat sinaran lampu
pancaran dari menara mercu
menitis airmata jiwaku syahdu.

Tiba maghrib hotel Syuhadah
pintu Al Aziz jamaah melimpah
taubat sujud depan baitullah
tawaf  saie safa dan marwah
lewat malam usai umrah
syukur tertunai satu  ibadah.

Subhanallah wal hamdulillah
walaa ilahaillallah
Muhammadan Rasulullah.

Ajyad, Saudi Arabia, 9 Februari 2016.

4.07.

RAUDHAH NABI

Merentas gurun terik mentari
menyusur sejarah hijrah nabi
Madinah al Munawarrah menanti
Masjid an Nabawi dan kubur Baqi
bumi syuhada’ daulah Islami
marhaban salawat bermula di sini.

Kubah hijau memayung raudhah
tempat bersemadi rasulullah
walaupun sempit mau kuredah
taman syurga bukannya mudah
solat dan doa dalam tabah
sekejap cuma aku pasrah.

Dari masjid pelepah tamar
beratap langit malam muktamar
masjid nabi sudah melebar
menara lapan gerbang akbar
binaan Majidi dihiasi marmar
payung besambut ke laman luar.

Ya Rasulullah salawat dan salam
kupulang dulu akhirul kalam
sunnah dan hadis mu buat pedoman.

Movenpick Anwar Madinah, 14 Februari 2016.

4.08.

Tanka:
SETIA

(1)

Sungai Thames London
nadi Empayar British
era Victoria
raja bertukar takhta
sedenting  Big Ben.

(2)

Sungai Seine Paris
nadi kota Napolean
gah Eifel Tower
pamer seni karyawan
zaman Renaissance.

(3)

Amstel Belanda
terusan berselirat
tamaddun gigih
meneraju budaya
menjajahi dunia.

Tetap mengalir
ku jejaki kembali
memori lama
mengusik jiwa lara
bak janji nan setia.

RIVER STAYS LOYAL

(1)

Thames River London
witnesses  British Empire rules
Queen Victoria shines
kings fight for power and throne
Big Ben keeps the chime.

(2)

Seine River Paris
witnesses architecture  grows
Eiffel Tower high
renaissance makes history
since Napolean era.

(3)

Amstel Netherlands
intertwine canals yonder
great nation thrives
overcoming  disaster
the world to conquer.

Back to these cities
walking down memory lanes
keeping my heart warm
river always stays flowing
promisingly and loyal.

Volendam , 25 Mac 2017.

4.09.

PURNAMA BERLALU

Cakerawala teratur beredar tersusun
patuh segenap kadar rentak  laju
seribu tahun menunggu blue moon
cantik mengambang bak puteri salju
biasa dilihat gerhana blood moon
merah menyerlah membakar nafsu.

Manusia haruslah begitu
menyantuni fitrah alam
bukan terkejar terlebih maju
melawan rentak kudrat  alam
biar seiring magis dan maju
melestarikan nilai alam.

Layakkah ingin hidup fana
tetapi mengguriskan alam sejagat
tentu murka Sang Pencipta
murka-Nya cetus  amaran kiamat
kembalikan kepada Yang Esa
memakmurkan alam bekal akhirat.

Embun turun matahari terbit
menyuluh bulan di ufuk barat
day moon masih terlihat
siang malam  silih sepakat
tidak alpa walau sesaat
bintang timur bawa berkat.

Bukit Saujana, 1 Februari 2018.

4.10.

Tanka:
LANGIT BEBAS

Camar berlagu
memecah kesunyian
terbang berkawan
migrasi tukar musim
jauh membawa nasib.

Dari Siberia
hindari suhu sejuk
turun selatan
singgah di Kuala Gula
pesta ramai menanti.

Adab manusia
puja pelancong asing
tempatan mari
melukut tepi gantang
insaf tika bencana.

Helang Langkawi
terbang tinggi di awan
melebar sayap
sejuk panas melanda
megah raja angkasa.

Kilim Geoforest Park, 24 April 2018.