1. ADI WAHAB

BIODATA. Adi Wahab (atau Haji Duming @ Domeng Bin Haji Abdul Wahab) dilahirkan pada 12 Jun 1948 di Kampong Limau Manis di Daerah Brunei dan Muara, Negara Brunei Darussalam.  Pekerjaan awal sebagai guru, kemudian bertukar dan bertugas di beberapa buah Jabatan Kerajaan dan Kementerian.  Jawatan terakhir sebelum bersara sebagai Setiausaha Sulit di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.  Antara karya yang pernah diterbitkan:  Keberanian (antologi perseorangan  sajak yang diterbitkan oleh DBP, Brunei). Juga Kita Terus Melangkah dan Maka Terbanglah Bangau (kedua-duanya antologi perseorangan terbitan Hadiwijaya Enterprise).  Antologi bersama Hidup Ibarat Sungai (antologi cerpen terbitan DBP, Brunei), Si Putih (antologi cerpen kanak-kanak terbitan DBP, Brunei), Pakatan (antologi sajak terbitan DBP, Brunei), Puisi-puisi Darussalam (antologi bersama sajak terbitan Syarikat Mega, Brunei), Pancaran Sajak (antologi bersama sajak terbitan di Singapura), Mengenang R. Hamzah Dua  (antologi bersama sajak, diterbitkan Perwila, Sabah), antologi bersama sajak Amas Tampawan dan beberapa buah lagi antologi bersama sajak terbitan dari dalam dan luar negara.  Sepanjang berkarya, beliau juga memakai nama pena Tinta Hijau, M. Hadiwijaya, dan M. Adi.

PUISI

1.01. Rezeki Pagi
1.02. Sesebuah Kehidupan
1,03. Kubuka Lembaran Baharu
1.04. Perjalanan
1.05. Tanka: Merigis Kenangan
1.06. Tanka: Tunaikanlah
1.07. Haiku: Krakatau
1.08. Haiku Menanti Musim
1.09. Haiku: Masjid
1.10. Sonian: Ketam

1.01.

REZEKI PAGI

Benarlah bahawa
sesungguhnya rezeki itu
ada di mana-mana
dan kita
tetap mensyukurinya
dengan apa yang ada
dan seadanya
meskipun demikian
ini bukanlah bermaksud
rezeki kais pagi
makannya pagi
kais petang makannya petang
tetapi ianya adalah
hasil titik peluh
dari tulang empat kerat!

28 November 2014.

1.02.

SEBUAH KEHIDUPAN

Kehidupan itu
adalah ibaratnya
beting di tengah laut
meski ombak memukul ganas
ia tetap bertahan
dan terus bertahan
dengan tiada goyah
dan begitulah tamsilan
sebuah kehidupan
golongan bawahan.

19 Mac 2014.

1.03.

KUBUKA LEMBARAN BAHARU

Hari ini kubuka lembaran baru
sebuah catatan pada secarik kertas
yang telah lusuh
untuk mengguris seungkai nukilan
yang mungkin ianya
tidak punya apa-apa makna
waima bagaimanapun
catatan itu tetap kunukil
dari bait ke bait
meski tidak ada yang mengerti
tetapi ketahuilah sesungguhnya
ia bergantung kepada keyakinan
yang ada pada diri
kerana pada suatu ketika nantinya
ia akan memberi erti kepada mereka
yang padanya punya harga diri
dan keyakinan yang hakiki.

01 Januari 2015.

1.04.

PERJALANAN

Perjalananku yang biasa
pada jalan-jalan
yang sentiasa kulalui
setiap pagi masih terasa sepi
dan rumput-rumput di bahunya
memanjang menyakitkan mata
seolah-olah tidak lagi dipeduli.

29 September 2016.

1.05.

Tanka:
MERIGIS KENANGAN

Menanti waktu
kuhayati indahnya
sungai mengalir
merigis kenanganku
dan aku bersamanya.

Mangrove Paradise, 27 Disember 2018.

1.06.

Tanka:
TUNAIKANLAH

Pagi yang sepi
unggas masih di sarang
fajar menyingsing
subuh belum beredar
tunaikanlah solatmu.

23 Januari 2019.

1.07.

Haiku:
KRAKATAU

Anak Krakatau
muntahkan lahar panas
menelang korban.

31 Disember 2018.

1.08.

Haiku:
MENANTI MUSIM

Kapal berlabuh
menanti musim teduh
mencari rezeki.

Labuan, 19 Januari 2019.

1.09.

Haiku:
MASJID

Masjidku indah
tersergam dengan megah
negara zikir.

23 Januari 2019.

1.10.

Sonian:
KETAM

Mungkin ketam itu
untuk diriku
misalannya
dibangsi.

14 Februari 2019.