1. DINO MN

BIODATA. Dino MN (Cikgu Haji Bidin bin Haji Mohamad Noor) dilahirkan di Kampong Lamunin, Tutong. Seorang Pegawai Pelajaran berkelulusan Serjana Muda Sastera Pendidikan UBD 1988-1991. ( Kini beliau telah bersara dari perkhidmatan sejak tahun 2004). Hasil karya tertumpu pada bidang cerpen dan puisi. Aantologi persendirian puisi beliau ialah Dendang Suci, (BLB Sarawak 1971) dan Gema Kalbu, (JAPEM, 2018). Antologi bersama puisi: Tugu Kenangan (BLB Sarawak, 1976), Larian Hidup (DBP, 1999), Cermin Diri (Jabatan Kurikulum, 2000), Ristaan Anak Merdeka (DBP, 2006), Suara (DBP, 2009), Ke Mercu Emas (DBP, 2011), Dua Wajah (DBP, 2012), Menjelbab Cinta (Asterawani & Ikatan Penulis Sabah, 2013), Kembali MH370 (Perwila Labuan, 2014), Cahaya Terus Bersinar (UBD, 2014), Amas Tampawan (2015), Restu (2016), dan Antologi Puisi Guru (Perkumpulan Rumah Seni Asnur, 2018). Antologi bersama cerpen: Rantau Utara (DBP, 1989), Di Hujung Pertemuan (DBP, 2005), dan Sepanjang Perjalanan (DBP, 2009).

PUISI

1.01. Untuk Siapa?
1.02. Doaku
1.03. Lambaian Sabang
1.04. Warisan Guru
1.05. Haari-hariku Yang Indah
1.06. Musafir Senja
1.07. Jambatan
1.08. Sonian: Bunga Keduduk
1.09. Goncangan Ilahi
1.10. Haiku: Bebas & Terambat

1.01.

UNTUK SIAPA?

Orang fakir, orang miskin dan orang berada
telah ditentukan kadar masing-masing
bahagianmu tidak akan berkurang dan tidak pula berlebih
tetap pada garis dan titik timbangan keadilan
di jalur yang diamanahkan oleh-Nya.

Andainya kau berani melangkah jalur batas-Nya
dan kalau kau ambil lebih
itu adalah hak orang lain
jika kau makan lahap yang bukan milikmu
sesungguhnya kau sedang meniti
dititian kerugian di akhir perjalananmu
kebengkerapan menantimu di akhirat.

11 Zulhijjah 1439.

1.02.

DOAKU

Alfatihah…
untuk semua ibu-ibu bapa-bapa saudara-saudari
yang telah pergi duluan
dijemput gelombang tsunami
bersemadilah kaliannya
di perkampungan baru ini
menanti saat kami juga akan menyusul kamu
yang entah bila saat itu tiba
untuk kita berkumpul sama
meneruskan perjalanan menemui-Nya
yang entah simpang mana kita diarahkan masuk
bahagia atau deritakah yang akan kita terima
apabila antologi amal kita dibedah di depan-Nya.

Doaku untuk semua di perkampungan ini
semoga Allah menempatkan kalian
di singgahsana firdaus yang nyaman untuk kalian…

Aamiin ya Allah!! ya rabbi
ringankanlah bebanan mereka
yang Kau jemput melalui bahteta gelombang tsunami
semoga saja mereka mendapat rahmat dari-Mu
ya Allah.

Perkuburan Massal Desa Siron, Aceh Besar, 9.9.18.

1.03.

LAMBAIAN SABANG

Pulau Sabang yang indah
air lautmu yang membiru mengelilingi tebingmu
aku melihat di kejarnihan air lautmu yang membiru
penghuni laut bermain-main di sebalik batu-batu karang
melambai ekornya sebagai isyarat
mengucapkan selamat datang kepada setiap pengunjung
betapa indahnya panorama ciptaan-Nya.

Di pulaumu megah bebukit yang tinggi
melambai jejari ranting dan dedaun padaku
akupun menaiki bukit bak gunung itu
aku temui beberapa kubu perang silam peninggalan Jepun
ini membuktikan bahawa kau pernah ditawan
oleh penjajah asing yang rakus.

Pulau Sabang,
kaulah penanda ukur sempadan negaramu
dari titik nol hingga ke Maroki
yang menjadi kepunyaan bangsa dan negaramu
kau tetap megah bersama penghunimu yang setia
yang bahagia di pulau kecintaan Pulau Sabang
aku pasti akan kembali di bumimu
menghilang rinduku padamu Sabang.

Pulau Sabang Aceh, 10.9.18.

1.04.

WARISAN GURU

Telah sampai padaku madah indahmu
telah meresap di jiwaku dendanganmu
telah kulalui jalan-jalan yang kau rentis
yang memudahkan kumelangkah
walaupun sekali sekala kaki tersandung
tetunggul yang menghalang langkah
tapi katamu terus bangun
jangan mengadah jangan mengalah
terus berlari dan mengejar arah
agar kau jumpa jalan yang tidak beronak dan berliku.

Kerana madahmu aku duduk tak goyang
kerana dendangmu aku menari riang
dan keriangan itu kuhambur juga untuk anak watan
yang akhirnya mereka juga riang penuh gaya
menanai hasrat dan cita-cita leluhur
membangun bangsa dan negara
dalam keamanan dan kesejahteraan lapisan rakyat
itulah jasa bakti dari guru-guru
yang abadinya hinggalah jasadnya lebur.

5.9.18.

1.05.

HARI-HARIKU YANG BERLALU

Seiring berjalannya waktu
akupun semakin dewasa
semakin menghampiri ke titik akhir.

Semakin pantas terasa perjalanan
siang dan malam seolah-olah titik perhentian koma
yang hanya sebentar berlabuh.

Begitu cepatnya hari-hari berlalu
akupun sudah berada di usia emas
yang entah bilakah akan sampai ke titik hujung
sedangkan anggota terasa lenguh-lenguh
ujud kudrat pun berkurangan.

Wahai hari-hariku yang berjalan pantas
Seandainya dapat kutahan langkahmu
dan pada waktu kuminta perlahankan detak detikmu
agar lambat waktuku sampai ke titik akhir….

Masjid Birau Tutong, 5.11.18.

1.06.

MUSAFIR SENJA

Aku seorang musafir
berkelana melangkah di alam buana
bermula di subuh sunyi
beburung pun belum berkicau lagi.

Aku melangkah dengan bekalan
seadanya
dan akan singgah bila terasa lenguh
dan di setiap perhentianku
akan kutambah bekalan untukku kembara lagi
kupastikan bekalan lama yang usang
yang bertentangan dengan arus lurus perjalananku.

Aku terus kembara lagi
dengan bahtera bermusafir di senja hari
singgah di setiap perlabuhan
mengisi bekal memantapkan iman
menjalinkan jalinan kasih sesama insan
berguru berukhwah berbagai ilmu untuk dibawa ke pelabuhan akhir
dan dipersembahkan kepada-Nya
untuk mendapatkan ganjaran
yang diidamkan
untuk meraih kasih-Nya yang agong.

Ya Allah, Kau terimalah ole-ole musafir senjaku
amin ya Allah…
amin ya rahman…
amin ya rahim…

Jumaat, 9.11.2018.

1.07.

JAMBATAN

Di celah bunga yang menawan
Di sebuah taman atas bukit
Kulepaskan pandangan juah ke semudra
Nun di sana terbentang jambatan ke
Temburung
Yang dulu hanya perahu dan motorsangkut jalan penghubung
Menempuh bahaya yang tidak diundang.

Akhirnya kini kutemui sinar yang cerah
Untukku kembara ke seberang
Menjenguk kasih pada dangsanak di sana
Oh, inilah kemajuan yang kita miliki
Seluruh rakyat menjadi saksi
Yang muda belia tak akan sangsi meniti
Sedangkan mereka
yang usia muda sudah tiada
Sempatkah mereka kembara ke seberang
Melalui jambatan yang merentang?

Sungai Besar Brunei, 1.2.2019.

1.08.

Sonian:
BUNGA KEDUDUK

(i)

Kekuduk yang tumbuh
Liar melata
Dapat teman
Yang putih.

(ii)

Kekuduk yang putih
Penyeri taman
Kumbang bejat
Perosak

(iv)

Ungu putih bersih
Mesra bergading
Sama tumbuh
Di taman.

taman bungaku, 1.2. 2019.

1.09.

GONCANGAN ILAHI

Indonesia…
bumimu bergegar digoncang lagi
kali ini Palu jadi pilihan ilahi
dengan tsunami yang menyapu
dari pantai ke daratan
menenggelamkan setiap makhluk Tuhan
tak kira mereka itu beriman atau tidak
Tuhan akan memilih mereka
akan disimpan di syorga atau neraka-Nya.

“Rabbana atina fiddunia hasana
wafil akhirati hasana waqina azabannar”

Indonesia dan rakyatmu
kau adalah saudaraku serumpun
yang asal kita di alam Nusantara ini
ambillah ikhtibar yang telah melandamu
walau apapun malapetaka yang menimpamu
sesuai dengan amal dan dosa yang dikerjakan
berjalan seiring seirama
maka hadirlah bencana demi bencana
sesuai hukuman Tuhan
tidak berlebih bala dari dosa
tidak berkurang pahala sesuai amal
seimbang dengan rentak gempa dan tsunami.

Ayuhlah…bangkitlah wahai saudaraku
bukan menentang ketentuan Allah
tapi bangkit bertaqwa pada-Nya
beramal ikut perintah-Nya
bagi menghindari murkanya Allah
bagi menyelamatkan bangsa dan negarmu
yang saban hari berita terpapar
kasus pembunuhan
kasus pemerkosaan
kasus sumbang muhrem
sehingga mengundang kemurkaan Allah.

Brunei DS, 31.10.18.

1.10.

Haiku:
BEBAS & TERTAMBAT

(i).
Bebas

Bangau yang kurus
tidak perlu diurus
kebebasannya.

(ii).
Tertambat

Kerbau tertambat
makan minum diawas
hidup tak bebas.

Birau, Tutong, Brunei Darussalam.