8. MOKHTAR RAHMAN

BIODATA. xxxxx

PUISI

8.01. GAKSA
8.02. Beting
8.03. Air
8.04. Baji
8.05. Laut Dan Sungai
8.06. Lidah
8.07. Pagi
8.08. Aku Dan Dia
8.09. Hagia Sophia
8.10. Ibu

8.01.

GAKSA

G
Gabungan tanah serantau
yang membentuk segugus jantung 
berjuntai dari pelantar benua
berdenyut dan berdegup
pada tiap kali bersua,

A
Antara kita adalah laut 
yang menemukan pulau-pulau jajaran
lembah dan bukit bukau
lalu bersama menghirup
udara yang merentas sempadan.

K
Komunitas kita mampu mengerti 
resam adat ketimuran
sementelah membelai tradisi
saling menghormati
setia persahabatan.

S
Sastera adalah yang mengalir 
dari puncak tamadun silam. 
Srivijaya. Ayutthaya, Angkor, Islam, 
mencatat pelbagai ceritera tragis
bangsa peribumi, mangsa kerakusan kuasa.

A
Asean adalah ikatan ampuh 
tiang-tiang panji yang sepuluh
dan kita adalah pelukis maya
dari gandingan GAKSA yang berdiri
telus, bebas, berani.

Alor Setar.

8.02.

BETING

Aduhai, ombak-ombak kecil
yang datang menjilat pantai
sekadar mencecah bibirnya
lalu berundur,
datangnya silih berganti
mencuri manik-manik pasir dan kembali
menambak laut

II

Musim-musim membungkam
seperti fetus yang membesar
dalam rahim ibunya,
demikian beting-beting melebar,
timbunan demi timbunan
menguasai muara
sedang sungai sudah kesasar.

 III

 Apakah kemungkinan menjadi pulau?
ketika itu timbunan pasir
sudah mampu membina daratan
manakala kuala kehilangan laluan,
Sedar, pabila aliran air telah tertutup
banjir bakal melanda,
wallahuaklam.

Alor Setar.

8.03.

A I R

Biarkan air itu mengalir
jangan ia bertakung semata
lepaskannya kehulu dan hilir
menjelajah hatta ke kuala,
Biar ia melewati banir
membelah bukit menerjah rimba
mengerti tugas terus mengair
dataran kontang tanahnya huma.

Begitu sang anak pada lahir
tiada makna berkurung cuma
pantangnya diri menjadi cair
bila disentuh api bernyala.

Ambillah contoh laluan air
rajin menyalur tanpa berakhir.

 Alor Setar.

8.04.

BAJI

Dia sudah tahu peranannya
membelah batang-batang pohomu
kendatipun terasmu liat,
jangan hairan
kerana dia mampu menyisip
celah akraban kayumu
tanpa sebarang sangsi,
hatta memutuskan
saraf-saraf yang tegar.

Kamu sekadar menyaksi
bahawa saudaramu telah terpisah
lalu menjauhkan diri.

Alor Setar.

8.05.

LAUT  DAN  SUNGAI

Laut, adakah kamu dari unsur lain
maka airmu tidak sebulu
dengan air sungai?

Nyata kamu lebih hebat,
punya gelombang setinggi gunung,
paus dan jerung-jerung ganas
mengawal dasarmu
dan segala khazanah terpendam.

Sungai begitu kerdil di matamu,
tidak mampu mencerna batu batan
menahan tsunamimu
mustahil melawan ribut taufan,
sungai mengalir tenang,
lalu kamu cuba mendekatinya,
memikatnya, dengan ombak-ombak mesra.

Apakah kamu punya keiklasan?
sedangkan pasangmu sudah mula
memasuki sungai, menjelajahi daratan.

Alor Setar.

8.06.

 LIDAH 

Pandainya lidah berkata-kata,
s’gala yang pahit menjadi racun,
sedang yang manis itu bahasa.

Memutar belit mainan cuma,
lantang suara hilanglah santun,
pandainya lidah berkata-kata.

Bagai kelibat si anak dara,
sapa menyapa dilihat anggun,
sedang yang manis itu bahasa.

Jangan lidah celupar adatnya,
banyak muslihat mampu diadun,
pandainya lidah berkata-kata.

Renung dahulu tika bicara,
kata berhemah ayat bersusun,
sedang yang manis itu bahasa.

“Kerana mulut badan binasa”,
ingatan diri turun-temurun.

Pandainya lidah berkata-kata,
sedang yang manis itu bahasa.

Alor Setar.

8.07.

 PAGI

Tatkala fajar mula menyinsing
langit membuka daun hijabnya
damainya pagi, s’galanya hening.

Terbentang alam gunung keliling
pohonan hijau menyejuk mata
tatkala fajar mula menyinsing.

Murai berkicau, unggas membising
ayam berkokok saling bicara
damainya pagi, s’galanya hening.

Alhamdulillah doa kuiring
Allah masih memberi usia
tatkala fajar mula menyinsing.

Saat begini betapa sering
rakan kembali menemui-Nya
damainya pagi, s’galanya hening,

Sedang dunia tidak terasing
dari nikmat-Nya, ingati Dia!

Tatkala fajar mula menyinsing
Damainya pagi, s’galanya hening.

Alor Setar.

8.08

 AKU DAN DIA
(dedikasi untuk guruku)

 Aku tidak menangis
bila dia merotan pinggulku
kerana aku tahu hukuman
mencopet duit rakan,
aku tidak peduli dia mengusirku
berdiri tengah terik matahari
kerana aku tahu
diriku pantang diuji,
langsung aku tidak hairan
bila aku ditahan
(sedang rakan-rakan berhembus pulang),
aku tahu denda bakal kuterima
atas sikap curangku,
mengabaikan ilmu dan kerja.

Tapi aku tidak membencinya;
dia pernah membalut lukaku
ketika terjatuh rebah, jua membantu,  
waktu aku kehilangan wang saku,
lalu menghantar aku ke rumah.

Saat ini aku menangis
dia terlantar di ranjang usangnya
sepi dan uzur,
sukar aku menyembunyi sebaknya dada
bila air terus gugur
dari kelopak mata,
dia guruku
yang menjadikan aku manusia.

Alor Setar.
 

8.09.

HAGIA SOPHIA

Dulu kakiku menggigil
bukan kerana musim sejuk di Sepanyol
tapi atas lantai Mezquita
menyaksi gereja dalam masjid,
aduhai Cordoba!

Engkau sudah jauh hanyut.

Sejurus aku berdepan Hagia Sophia
yang menggamit kehadiranku,
tidak seperti Mezquita,
dia lebih mesra
kerana langit-langitnya
tertera baris-baris suci al-Quran,
Muhammad dan para sahabat
begitu sinonim dengan doa-doa kulafaz
dan rinduku sudah tidak asing,
Hagia Sophia,
di dadamu Virgin Mary
seolah-olah sedang melihat
mihrabmu menghala kiblat.

Istanbul.

8.10.

IBU

Harini siang bertandang lagi
ketika ibu tiada daya
menyaksi terbitnya matahari
dan segala yang disimbah cahaya.

Dia terlantar kaku di ranjang,
sekadar bisa mengintai langit
dari celah-celah dinding usang
sesekali rindunya menggamit.

Anak-anak kian jauh pergi,
dia mengerti zaman berubah
pasrah sang ibu membawa diri
kudratnya serah pangkuan Allah.

Betapa sepasang tangan ibu
mampu titipkan kasih nan padu.

Alor Setar.