4. CTRANALIS

BIODATA. Ruslina binti Mat Rakib di lahirkan di negeri Jelapang Padi, Kedah Darulaman pada 22hb Februari 1967. Kini menetap di Kuala Lumpur. Timbalan Presiden Aktivis E-sastera Malaysa  (E-SASTERA) dan ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI),  menganggotai Grup Puisi Pinggiran Darulaman sekitar tahun 80-an. Mengikuti kursus-kursus penulisan yang dianjurkan oleh Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) seperti kursus asas penulisan, kursus penulisan kreatif, penulisan berita dan rencana, kursus penulisan skrip drama dan beberapa bengkel anjuran PROKSI, DBP, PENA & ITBM. Karya-karya lebih tertumpu kepada puisi dan cerpen. Pernah mendapat tempat di Radio Malaysia Alor Setar, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Warta Darulaman, Mingguan Wanita, Majalah Intisari, beberapa akhbar tabloid yang lain dan Sastera.net. Pernah memenangi pertandingan menulis cerita lucu majalah Rileks. Antologi Puisi ‘Alun Berkocak’ satu-satunya yang dihasilkan bersama Grup Puisi Pinggiran. ‘Sepiak Pinang Semamah Sireh’ merupakan antologi puisi kedua bersama penyair-penyair siber anjung utara dan pada tahun 2011 menyusul antologi soneta bersama berjudul ‘Pepohon Perteduhan Cinta’ dan mengisi 5 buah karya dalam antologi  multigenre Bukit SiGuntang Mahameru iaitu soneta, haiku dan sebuah travelog Menawan Puncak Monpera. Pada 2012 sebuah sajak berjudul ‘Menyusuri Jalan mengenal Mu’ turut terpilih oleh Sasterawan Negara Dato’ Ahmad Kamal Abdullah (KEMALA) bagi mengisi ruang di antologi Puisi Numera (Nusantara Melayu Raya). Turut memuatkan beberapa karya di E-LOKA Direktori  penyair eSastera Malaysia 2011 dan ANA antologi karya eSastera mengenang Brirasa, ‘Bulan Suram di Langit Kashmir’ kumpulan puisi bersama 4 penulis esastera.com, Segenggam Tasbih kumpulan puisi&cerpen Dialog Puncak ASASI 2013, Kumpulan puisi bersama MH370, Merungkai Mimpi kumpulan puisi Dialog Puncak ASASI 2014. Sirah Rasulullah (Puisi), E-Sastera 2015, Projek Haiku (Haiku) TabirAlam 2015, Semandarasa Pantun Melayu (Pantun)TabirAlam 2016, Projek Sonian Tabir Alam 2016, Adikarya (Poligenre) TabirAlam 2017,  Memori Aidilfitri (Anekdot)TabirAlam 2017,Istana Kasih 4 (Sajak), Karyawan Pk 2017, Antologi Puisi Pangkor 2017,Antologi cerpen Melerai Rindu UUM Press 2017. Pantun Berkait (Pantun)TabirAlam 2018,Catatan Kembara (Travelog), Tabir Alam 2018, Penganan Dari Dapur Penulis (Resipi) TabirAlam 2018, Maharnya Mahal (Cerpen) DBP 2018, Suara Hati (Kuatrin) TabirAlam 2019, Karmina Pantun Dua Kerat (Pantun) TabirAlam 2019. Pernah memenangi beberapa sayembara soneta, cerpen, pantun, haiku, dan teka-teki di HESCOM (Hadiah e-Sastera.com). Mendapat anugerah Sasterawan Alam Siber (SAS) 2019 dari E-SASTERA.

PUISI

4.01. Haiku: Tangga Spiral
4.02. Kuatrin: Seorang Gadis Yang Kutemui Pada Lewat Malam
4.03. Pantun Vaganza
4.04. Makna Sebuah Rindu
4.05. Soneta: Air Mata Palu
4.06. Sonian: Berangkai: Kembara Thailand
4.07. Sonian: Gunung Jerai
4.08. Sonian: Pekan Rabu
4.09. Sonian: Pulau Langkawi
4.10. Tanka: Belasungkawa Muhammad Adib bin Mohd Kassim

4.01.

Haiku:
TANGGA SPIRAL

Di Kelle’s Castle
tangga bilik rahsia
jejak sejarah.

Ipoh, Disember 2018.

4.02

SEORANG GADIS YANG KUTEMUI PADA LEWAT MALAM

Ketika bulan masih mengambang
keluhan menyingkap tabir kelam
cempaka gugur sebelum kembang
dibawa resahnya angin malam.

Mengapa menolak kebenaran
sehingga kata menjadi dusta
dilamun cinta yang berkejaran
kepalsuan berarus di mata.

Berlarilah kau sepuas hati
di pentas dunia milik tuhan
sehingga segalanya terhenti
penyesalan terungkap keluhan.

Bila mentari menutup kelam
melenyapkan segala kenangan
terjaga dari mimpi semalam
di dalam terang kau kehilangan.

Tangisan gadis berwajah dendam
kesalan meratap kesedihan
di hatinya tak akan terpadam
doa yang tidak berkesudahan

Disember 2019.

4.03.

PANTUN VAGANZA

Kesuma lata redan berpaya,
jadi setara berbeza dahan;
bersama kita di medan karya
di E-sastera.Vaganza ASEAN.

Jadi setara berbeza dahan,
sama merata di sisi temu;
di E-sastera. Vaganza ASEAN,
bersama kita berkongsi ilmu.

Sama merata di sisi temu,
kijang di bawah lompat berikat;
bersama kita berkongsi ilmu,
panjang ukhuwah mendapat berkat.

Kijang di bawah lompat berikat,
cura jeritan canang simpati;
panjang ukhuwah mendapat berkat,
mesra ikatan kenang di hati.

Februari 2019.

4.04.

MAKNA SEBUAH RINDU

Secangkir rindu
yang kita hirup bersama
tika bulan berselindung malam
menutupi wajah
adalah sebuah atmajiwa
yang mengalir damai
berbisik sejuta rasa bahagia
aromanya meresap
ke ruang-ruang kosong
diam meratah sepi

Disember 2018.

4.05.

AIR MATA PALU

Bila senja melabuhkan tirai
keresahan dihimpit sengsara
hadir malam yang tidak dirai
hanya ratapan hati yang lara.

Ombak semakin ganas menghempas
raung tangis ratap kehilangan
pencarian yang semakin tumpas
dan mayat-mayat bergelimpangan.

Tidur berselimut mimpi ngeri
Tsunami membaham tanpa belas
menanti siang yang hilang seri
terkenang nasib harus digalas.

Begitu makna namamu Palu
bila bumimu diratap pilu.

Oktober  2019.

4.06.

Sonian berangkai:
KEMBARA THAILAND

/i/

Menyusuri sungai
Menam Chao Phraya
makan malam
kenangan.

/ii/

Di Pasar Terapung
tawar menawar
Sungai Mae Klong
rezeki.

/iii/

Kembang matahari
ladang Lopburi
keindahan
bertamu.

Thailand, Disember 2019.

4.07

Sonian:
GUNUNG JERAI

/ii/

Kedah Darulaman
tarik pelancong
puncak Jerai
kunjungan.

/ii/

Sejuk membaluti
mendakap rasa
kedamaian
kurniaan.

/ii/

Bunga berkembangan
segar mengharum
keindahan
pencipta.

Januari 2019.

4.08.

Sonian:
PEKAN RABU


/i/

Kunjungan pembeli
tawar menawar
Pekan Rabu
pilihan.

/ii/

Resepi utara
gerai makanan
menikmati
selera.

/iii/

Di atas jambatan
menadah tangan
harap kasih
simpati.

Januari 2019.

4.09.

Sonian:
PULAU LANGKAWI

/i/

Sumpahan Mahsuri
mati dibunuh
mangsa fitnah
lagenda.

/ii/

Tujuh keturunan
tangis bumimu
kegersangan
sumpahan.

/iii/

Pulau bebas cukai
syurga membeli
kepuasan
pilihan.

Pulau Langkawi, Disember 2019.

4.10.

TANKA:
(belasungkawa: Muhammad Adib bin Mohd Kassim)

Rabiulakhir
menjalankan amanah
trajedi kuil
mangsa persengkataan
bakti wira negara.

Disember, 2018.