7. IBNU DIN ASSINGKIRI

BIODATA. Ibnu Din Assingkiri ialah nama pena penulis Sanusi bin Din. Dilahirkan di Singkir Laut, Yan, Kedah pada 4 Mei 1970. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Singkir, Kedah dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok, Kedah. Menyambung pendidikan di Kolej Vokasional Lorong Batu Lanchang, Pulau Pinang dalam bidang otomotif dan Institut Pengurusan Malaysia dalam bidang Pengurusan Penyeliaan. Graduan Sarjana Muda Pengajian Inggeris dengan Kepujian di UNITEM (OUM). Kini melanjutkan pendidikan Pascaijazah Pendidikan di Universiti Terbuka Wawasan (WOU). Berkhidmat sebagai Penolong Eksekutif Kanan Latihan dan Perkembangan Sumber Manusia di syarikat Boon Siew Honda Sdn. Bhd. di Bahagian Keselamatan Trafik dan Penunggangan Selamat. Ahli Jawatankuasa Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) bagi sesi 2019-2021. Cenderung menulis puisi, cerpen, apresiasi serta kritikan karya sastera. Menulis secara serius semenjak tahun 2010 dan telah menghasilkan dua naskah kumpulan puisi serta dua naskah kumpulan cerpen. Karya eceran dan makalah beliau telah terbit di majalah Dewan Sastera, akhbar Mingguan Malaysia, akhbar Berita Harian, akhbar Amanah, majalah Pendidik, akhbar Utusan Borneo, dan akhbar Sinar Harian. Selain menulis di tanah air tercinta, beliau ikut bergabung dengan penulis se-Nusantara dan telah membukukan 16 antologi bersama. Editor Kumpulan Puisi Kembara Mencari Pelangi, Kausar Kreatif (2015). Menyumbang sebagai penasihat pakar dan penyunting kandungan modul Pendidikan Keselamatan Jalan raya (PKJR) dalam sisipan Bahasa Melayu bagi sekolah-sekolah Malaysia (Pra Sekolah, Sekolah Rendah dan Menengah Rendah) di bawah Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS), Jabatan Keselamatan Jalan raya (JKJR), Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengangkutan. Mentor penulisan puisi bagi persatuan penulis Angkatan Sasterawan asional Kedah (ASASI) sejak 2016. Menerima beberapa Anugerah HESCOM (Hadiah eSastera.com): Pemadah Prolifik (2011), Pemuisi Teraktif Puisi Tradisional (2011), Anugerah Pengkarya Prolifik (2013), Tanka Melayu Alam Siber (2014), Soneta Melayu Alam Siber (2014), dan Cerpenis Alam Siber – Tempat Ke-2 (2014). 

PUISI

7.01. Susah Merokok
7.02. Cerita Di Jalan Raya
7.03. Gurindam: Sayang Melayu
7.04. Rona Manusia Yang Abstrak
7.05. Tempayan Busuk
7.06. Tidak Terungkai
7.07. Soneta #1
7.08. Tanka #125
7.09. Haiku #47
7.10. Senryu #21

7.01.

SUSAH MEROKOK

(i)
Tudung celepa sudahlah bengkok,
Boleh elokkah kalau dikikir;
Buatlah apa belanja rokok,
Baik sedekah kepada fakir.

(ii)
Di batang buruk ayam berkokok,
Lepas berkokok mengasah taji,
Sungguhlah teruk hendak merokok,
Baik ditokok simpanan haji.

(iii)
Kakilah ayah jatuh terlipat,
Bengkaknya sah kena dituam;
Bersusah-payah mencari tempat,
Merokok susah di tempat awam.

(iv)
Kain ditokok janganlah pinda,
Jahitkan saja cara jelujur;
Tempat merokok salah didenda,
Berhenti saja takut terlanjur.

(v)
Cendawan tumbuh di batang pokok,
Tersalah makan bolehlah mati;
Susahlah sungguh hendak merokok,
Kusut fikirkan baik berhenti.

Simpang Ampat, Pulau Pinang, 2 Januari 2019.

7.02

CERITA DI JALAN RAYA
(Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Sedunia November 2018)

Di jalan raya bukan pusara,
hanya penghubung ke hala tuju,
muda sebaya hati gelora,
nyawa disabung sukakan laju.

Laju terlalu puncanya sikap,
mangsa dilanggar jadi sengsara,
buang dahulu gopoh cemerkap,
jangan digegar rasa juara.

Juara apa salah berlumba,
akibat nanti jadi masalah,
kerana alpa bertukar hiba,
sampailah mati rasa bersalah.

Bersalah pada keluarga mangsa,
kerana hilang tempat bergantung,
harus waspada sepanjang masa,
pastinya malang dapat dibendung.

Dibendung tidak gopoh dan cuai,
ikutkan hati terhapus cakna,

salah bertindak habis berkecai,
menyesal nanti tidak berguna.

Berguna jika di jalan raya,
hemah selalu tetaplah cermat,
bijak menjangka mara bahaya,
malang berlalu jadi selamat.

Batu Kawan, Pulau Pinang, 07 November 2018.
(Syair-pantun)

7.03.

GURINDAM: SAYANG MELAYU

Sayang Melayu berlemah-lembut,
Hingga kepalanya ditarik rambut.

Sayang Melayu gemar beralah,
Menuntut haknya dikata salah.

Sayang Melayu terlalu bersopan,
Walau dicerca masih bertahan.

Sayang Melayu berpecah-belah,
Siapapun tidak mahu beralah.

Sayang Melayu masih telagah,
Siapakah hebat, siapakah gah.

Sayang Melayu keutamaan bangsa,
Walaupun politik berlainan pangsa.

Sayang Melayu harus diterjemah,
Sebelum haknya habis dijamah.

Bukit Tambun, Pulau Pinang, Disember 2014.

7.04.

RONA MANUSIA YANG ABSTRAK

Sushi dan sashimi
terlentang di hujung meja
hidangan stu ayam
bagai lahar berasap wangi
daging panggang dipola
seperti domino tumbang
sepakat menunggu dijamah.

Ucap kampai bersulam
denting gelas berlaga
wain beras dan bir
berkocak melompat buih
mencium mulut manusia
dari sepelosok dunia;
akrabi adab keraian.

Seorang bertanya tentang
status halal sembelihan
sambil mengesat buih bir
di bibir dan kumis
dengan belakang tangan,
seorang lagi sering istighfar
-makan semua terhidang.

Roman wajah manusia
terkadang begitu abstrak
di mana mereka berdiri
di situ mereka berpegang
tidak terusik gentar–
kepada hari berpulang
juga hari pembalasan.

Suzuka Circuit Hotel, Mie, Japan, 21 Oktober 2016.

7.05.

TEMPAYAN BUSUK

Mulut selebar tempayan
segala rahsia akan jadi sebutan
mengutip dosa-dosa kecil dan besar.
Jikalau buku amal dihulurkan dari kiri,
lidahmu bercantum untuk dihiris lagi.
Seharusnya aib saudara wajib dijaga
dalam lipatan keinginan menguja,
juga hasutan busuk yang laknat
: Takutlah balasan api-Nya,
yang tersangat pedih.

Kepala Batas, Pulau Pinang, 14 Mei 2011.

7.06.

TIDAK TERUNGKAI

Di ranting lesu
sang capung setia mematung
walau angin membentak keras
rangkulan tidak terungkai
erat, sampai penghujung hari.

Batu Kawan, Pulau Pinang, 11 Januari 2019.
(Puisi Gaya 517)

7.07.

SONETA #1

Jalanan sukar liku bercabang
begitu nyata cabaran hidup
usahlah mudah merasa bimbang
hidup bukannya selalu redup.

Andai semua dapat dicapai
dikhuatir nanti tidak bersujud
resam manusia mudah lupai
setelah senang menjadi maujud.

Pabila bala datang melanda
pantas disalah takdirnya Tuhan
mungkin inilah satu petanda
iman merapuh gagal bertahan.

Andainya hidup terlalu mudah
tidaklah iman terasa indah.

Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang, 30 Disember 2011.

7.08.

TANKA #125

Perahu ini
ke dua puluh lapan
tahun dikayuh –
Bawah lengkung pelangi
Jambatan dua hati.

Simpang Ampat, Pulau Pinang, 2 Februari 2019.

7.09.

HAIKU #17

Bambu berdesir
Syair memori silam
Selumbar pilu.

Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang, 10 Januari 2013.

7.10.

SENRYU #21

Tak’kan terkatup
Jendela puas hati
Di rumah hidup.

Surau Taman Merpati, Simpang Ampat, Pulau Pinang, 26 Mac 2016.