8. SUZANA JUMADIL

BIODATA. Suzana Jumadil, atau nama sebenarnya Suzana Binti Jumadil, dilahirkan pada 15 Januari 1977, di Tawau, Sabah. Mendapat pendidikan awal di SK Batu 22, Apas Balung, Tawau (1984-1989). Kemudianya menyambung persekolahan di SMK Balung, Tawau (1990-1994) dan SBP Lahad Datu (1995-1996). Seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia dan memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang Sastera dan Pendidikan (1997-2000). Beliau kini merupakan seorang tenaga pengajar di SMK Kubong, Limbang, Sarawak dan bergerak aktif dalam dunia penulisan dan kepenyairan. Karya beliau banyak tersiar menerusi genre puisi dan cerpen di akhbar perdana dan akbar tempatan di Sabah dan Sarawak. Karya beliau turut terbit menerusi antologi cerpen seperti antologi Sehati, Rahsia Kabin Biru, Gimbaran. Anekdot bersama penulis lain pula ialah Anekdot Cakk Arrr dan Anekdot Pok Pek Pok Pek. Antologi puisi pernah disertai ialah Kuatrin Suara Hati, Langit Garuda, dan Langit Palestin.

PUISI
8.01. Perjalan Ini
8.02. Kerinduan
8.03. Media Maya
8.04. Bulan Muram
8.05. Tabung Dosa
8.06. Jangan Kejutkan Aku
8.07. Bingkisan Dari Tuhan
8.08. Bermaknakah Pelayaran Ini
8.09. Adakah Kau Tahu?
8.10. Tin Kosong

8.01.
PERJALANAN INI

Perjalanan ini
kusemat secebis doa
moga selamat tiba
meski tak pasti
sampainya bila.

Perjalanan ini
kususun langkah
dalam derap harap
meski tidak pasti
yang menantinya siapa.

Perjalanan ini
kujejak bongkah-bongkah kaca
menjadi serpihan waktu yang tidak menjanjikan sambutan pada ketibaan yang bagaimana.

Perjalanan ini
bukanlah pengakhir cerita
Pada jalur usia yang tidak kuduga
di hujung nanti kesudahannya apa.

8.02.
KERINDUAN

Titisan embun dinihari
adalah utusan rindu
yang mampir di jendela hati’
kala dingin alam
menyelimuti jasad sepi.

Nyanyian pungguk jadi kerinduan
pada lagu malam yang
gelita
langit tanpa bulan
menyuluh gelap
dalam pekat.

Mungkinkah pungguk bersenandung
dalam dingin embun
sambil menanti bulan mencemar duli dalam kelam malam.

Terleraikah kerinduan dalam kebisuan hukuman alam
lantaran embun yang penghabisan
tidak lagi mampir di sini.

Andai begitu
biarkan kerinduan ini
kering sendiri
pudar bersama embun
yang bakal hilang
apabila mentari bersinar esok pagi.

8.03.
MEDIA MAYA

Menjerit sejuta cerita
pada cermin dipuja
dengan ketukan
yang gagah berkata-kata.

Mengalir deras arus minda
di sebalik mata yang tertipu maya
merakam aneka cerita
memuntahkan infiniti fitnah.

Menyala api dusta
yang diyakini umat manusia
mencincang lumat nilai saudara
persahabatan adalah figura indah
yang hilang di mata.

kebenarannya perkara kedua
yang utama di kepala
muncul sebagai wira
penyebar kisah bak saudagar gila
di padang pasir bicara sendiri
burung-burung menjadi saksi.

8.04.
BULAN MURAM

Apa khabar wahai bulan
mengapa sepi
sesudah tertunai impianmu
bercahaya di malam hari.

katamu,
kau bersinar lebih terang
jika
mentari kau tundukkan.

Mengapa sinarmu masih muram
mentari menangis kepayahan
sinarnya kau telan tanpa pamitan.

Masih adakah sisa kepuasan
yang belum kau cengkam
atau dendam baru bertunas
sesudah kau miliki sinaran
yang terasa kurang.

Bulan oh bulan
sampai manapun kau menafikan
pendustaan
tidak pernah menjuarai kebenaran.

Suzana Jumadil
Limbang, Sarawak

8.05.
TABUNG DOSA

Tabung itu sedia penuh
isinya tumpah termuntah
terus ditambah dan ditambah
dindingnya lut sinar
dari kaca
sayangnya dilitupi debu
melekit hitam kelabu

Siapa menduga
Isi tabung penuh warna
titik hitam menutupi lut sinarnya
terlihat cuma bentuk
tanpa secalit cahaya
hingga menutupi jumlah
yang terkandung di dalamnya.

Tabung itu bak pujaan
di dalam hati menjajah
rasa bangga menyala
tanpa rasa berdosa
pilihannya tetap sama.

Tambahlah dosa lagi
sepertinya bantuan saat mati
kain putih menyelimuti diri
tabung tidak akan lari
jawabkan soalan di sana
bukti hamba derhaka
tabung ceritakan segalanya kisah dosa.

8.06
JANGAN KEJUTKAN AKU

Kicau burung di luar jendela
adalah seruling pagi yang membangunkan lena dari mimpi misteri.

Mentari yang menyeludup
masuk dari celah dinding berhabuk
adalah suaramu yang memaksaku jaga untuk berlari mengejar mentari yang laju membilang waktu.

Gebar ini terlalu enak
untuk kutinggalkan
lalu ku abaikan bisikan seruling dan ku tutup wajah dari tujahan ganas mentari yang membakar siang.

Aku ingin terus lena
mimpi lebih indah dari realiti
biarkan aku dipenjara dalam mimpi
jangan kejutkan walau seribu tahun lagi.

Limbang, Sarawak, 18 Februari 2019.

8.07.
BINGKISAN DARI TUHAN

Langit petang membisik pesan
cebisan teguran dari Tuhan
pada bayu dingin
yang menyapa daratan
lalu bertukar ganas
membenam rasa kasihan
amukan lantai bumi
menjadi rekahan kebencian Tuhan.

Gemalai alam berubah tingkah
bergulung marah merekah
menyedut manusia bernyawa
angkara siapa bencana menyapa
hingga bumi menjadi murka
hukuman hamba derhaka.

Gemuruh menjadi sepi
saat gempa menjajah bumi
terhumban dalam amukan tsunami
perdu damai badai mengganti.

Wilayahmu indah kini sirna
oleh ratanya bencana
insaf meraja jiwa manusia
mengapa teguran yang maha esa
lupa kau pasak di dada
bencana ini pasti kembali jelma
oleh maksiat yang kau bangga.

Limbang, Sarawak, 19 Oktober 2018.

8.08
BERMAKNAKAH PELAYARAN INI

Kita lalui denai berduri
walau hanya berparangkan jari
kita tempuhi lautan berapi
walaupun layarnya cuma cebisan hati
kita redah gurun tak berpenghuni
berpetakan bisikan naluri

Kita harungi alunan badai
bertemankan hati yang sunyi
bersaksikan bayangan jasad
yang tidak bernyawa lagi

Andai dihujung perjalanan nanti
kita tewas
oleh akal waras yang mengampu
oleh masa lalu yang menipu
oleh bicara yang lembut syahdu
oleh dunia yang penuh nafsu.

Bermaknakah pengorbanan?
andai dalam pelayaran terakhir nanti,
kita tewas oleh coretan jejari sendiri
andai bahtera sampai ke destinasi
nakhoda kian nazak oleh halusinasi
kudrat kian hilang oleh nafas seinci
meskipun kasih cinta masih utuh
sejuta tahun lagi.

Limbang, Sarawak, 27 Disember 2017.

8.09.
ADAKAH KAU TAHU?

Adakah kau tahu?
Saat tudingan menghala ke dahi mu
kau bingkas ganas
menegakkan benang basahmu

Adakah kau tahu?
Kau berhukum, Tuhan sandaranmu
Sebagai insan katamu,
Rezeki anugerah kurniaan Tuhan
Kenapa kita manusia persoalkan?

Adakah kau tahu?
di sudut dunia terasing,
kalimah Tuhan telah kau persendakan.

Adakah kau tahu?
dayusmu tiada tandingan.
sedangkan tapak tanganmu hilang pegangan.

Adakah kau tahu?
di depanmu jutaan jelingan, ribuan lidah
sedang galak menyumpahmu.

Apakah kau tahu?
duniamu sudah lama hilang
akhirat yang menantimu belum kau celikkan.

Adakah kau tahu?
bekalanmu cicir diperjalanan?
Semoga sempat kau kutip semula
Sebelum kau menutup sejarah,
Sebelum kau menutup mata.

Limbang, Sarawak, 15 Jan 2016.

8.10
TIN KOSONG

Kau berkarat dan menakung air busuk
isimu kosong dan kering
disepak sang budak
kau bising berdenting nyaring.

Seorang seniman datang
mengutipmu di tepi longkang
tubuhmu dibersihkan
dibaluti warna kuning keperangan
manifestasi senja seorang insan.

Hari ini
kau megah menjadi hiasan
di atas meja hotel lima bintang
terbuai oleh pesona kemewahan.

Suatu saat,
nasibmu berubah rentak
lalu tersengol kau tergolek
mencium lantai kau nyaring bersuara
pudar warna perang terpamer rahsia.

Kebenaran menggigit dunia
tin kosong penuh karat terserlah
bersemadilah dalam bakul sampah
di situ selayaknya kau berada.


Limbang, Sarawak, 20 Februari 2019.