9. PHAOSAN JEHWAE

BIODATA. Phaosan Jehwae  ATAU nama Melayunya Che Wan Fauzan Bin Che Wan Yusoff (lahir di PATTANI, Selatan Thai) adalah seorang ilmuan, seniman, dan sasterawan yang sangat aktif di Nusantara. Beliau juga menjadi pensyarah di Jabatan Pendidikan Bahasa Melayu, Universiti Fatoni, THAILAND. Selain menjadi pensyarah, beliau terkenal sebagai deklamtor puisi dan pejuang bahasa di Patani, Selatan Thai. Beliau juga aktif menulis dalam pelbagai bidang dan karya-karya beliau telah banyak diterbitkan dipelbagai Negara di Asia Tenggara. PENDIDIKAN.Beliau pernah belajar Ijazah pertama dan Ijazah Sarjana di Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga,Yogyakarta, Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta dan Universitas Negeri Jakarta. Peringkat Ijazah Ph.D diperoleh daripada Universiti Brunei Darussalam. ALAMAT SURAT MENYURAT. ASST. PROF. DR. PHAOSAN JEHWAE, Jabatan Pendidikan Bahasa Melayu, Universiti Fatoni (Fatoni University), P.O.Box 142, Muang Yala, Changwad Yala, S. Thailand  95000. No. Tel: +66-937816677. E-mel: fazdany@hotmail.com

PUISI
9.01. Aku Tak Malu
9.02. Kerana Duit
9.03. Kerana Jawatan
9.04. Lima Hari Empat Malam
9.05. Marhaban Ya Ramadan
9.06. Pasar Malam
9.07. Pertemuan
9.08. Siapa Kata
9.09. Tadika
9.10. Wahai Penakut

9.01.
AKU TAK MALU

Aku tak malu
Bila ku tak bisa
Menulis dan membaca bahasa mereka
Aku tak terhina sedikitpun
Bila ku tak bijak bertutur bahasa mereka
Tapi, aku sangat malu
Bila ku tak dapat
Menulis dan membaca bahasa ibu bapaku
Aku amat terhina. 

Aku amat terhina
Bila aku tak boleh menutur bahasaku sendiri.

Patani, 24/3/2018.

9.02.
KERANA DUIT

Kerana duit 
Bom meletus
Demi kuasa
Rakyat dibunuh
Kerana politik
Jelata sengsara
Demi bajet
Nyawa melayang
Siapa yang untung
Siapa yang derita
Kedamaian donggeng
Menyedap mimpi 
Tanah pusaka
Terus menyala
Api pemusuhan
Rakyat jelatalah
Umpan mangsa
Demi duit 
Kerana bajet
Membentengi politik
Mempertahankan kuasa
damai keamanan
Hanya sendiwara belaka.

Pattani, 16/2/2019.

9.03.
KERANA JAWATAN

Kerana sebuah jawatan
Manusia jadi binatang
Perilaku seperti syaitan
Bunuh mereka yang menentang
Bakar rumah yang melawan
Politik Melayu sungguh jalang
Tiada belas dan ihsan
Bila pemilihan berulang
Ramai mati bergelimpangan
Rakyat kecillah yang malang
Sampai bila dan kapan
Tanah pertiwi akan senang
Mari kita mencari jalan
Kembalikan negeri gemilang
Hidup dalam Kedamaian
Riang dan cemerlang.

2/5/2018.

9.04.
LIMA HARI EMPAT MALAM

Lima hari empat malam
Kita bersama suka dan ketawa
24 jam kita satu bumbung
Makan dan minum satu menu
Terkadang kau menangis
Kerana rindu ayah ibu di rumah
Terkadang kau berselisih
Bersama kawan-kawan baru
Terkadang kau marahku
Kerana selalu memaksamu
Kau selalu mengeluh
Tidur tak cukup
Kau harus bangun pagi
Kau harus berada dalam dewan
Tapi kau tak menyadari
Kebersamaan kita 
Telah menumbuh cinta
Dan kasih sayang bersama
Selama lima hari itu
Kau telah banyak tahu
Tahu baca puisi
Tahu berlakon drama
Tahu berpidato
Tahu bahasa dan sastera
Pada hari terakhir 
Ku melihat air mata
Kebahagian menitis
Dan jatuh di tanah-tanah gersang
Semoga pertemuan kali ini
Bukan kali terakhir 
Hidup atau mati
Bahasa Melayu kita
Digemgaman kalian semua
Selamat berpisah adikku
Teruskan cita-cita muliamu
Kegemilangan sedang menunggumu.

2/5/2018.

9.05.
MARHABAN YA RAMADAN

Marhaban Ya Ramadan

Marhaban ya Ramadan
Bulan suci penuh harapan
Magfirah dan keampunan
Membuka pintu-pintu pahala
Membersihkan segala dosa
Setiap saat dan masa
Ku menanti hadirmu tiba

Ramadan oh Ramadan
Menghantar pesona gemilang
Penuh hikmah dan barakah
Amal perbuatan dilipatganda
Bulan yang dirindui manusia

Ya Allah Ya Tuhanku
Aku memohon belas
Aku menadah kasih
Semoga air keampunan
Mengalir hapuskan dosaku
Kembali ku ke fitrah-Mu
Ku merayu pada-Mu
Semoga ku bersamamu lagi
Di tahun hadapan.

Patani, 2/5/2018.

9.06.
PASAR MALAM

Pasar malam
nampak renggang
Tiada yang datang
Ramai yang mengeluh
Penjual dan pembeli
Ekonomi sedang jatuh
Harga barang mahal
Sekerap sangatlah murah
Susunya sakit dan kering
Udara sangatlah panas
Rakyat menjadi susah
Biaya makan payah
Hidup mereka gelisah
Air mata senantiasa basah
Rata-rata penoreh getah.

Patani, 2/5/2018.

9.07.
PERTEMUAN

Pertemuan ini 
Sebuah anugerah agong
Terpencar di wajah-wajah 
Putera puteri bangsa
membungakan harapan
Membuahkan kenyataan
Memupuk kasih
Bahasa dan sastera kita
Masih ramai lagi anak bangsa
Menaruh cinta bahasa dan sastera 
Cuma mereka tiada pentunjuk
Bagaimana melihat kehebatan
Warisan bangsa Melayu kita.

Patani, 5/2/2018.

9.08.
SIAPA KATA

Siapa kata
Bahasa kita
Bahasa kelas dua
Ditutur orang desa
Telesurilah fakta
Beribu tahun lama
Bahasa kita berjaya
Menjuarai dunia
Ditutur bangsa Cina
Arab Eropah dan India 
Bahasa kita 
Menjadi bahasa utama
Dalam berniaga
Pelbagai suka negara
Di bumi Nusantara
Bahasa kita
mudah dibicara
Lunak dan selesa
Digemari semua 
Bahasa kita 
Menjadi wahana
Dakwah agama
Di seluruh bunua
Bahasa kita
Seindah rupa
Semolek nama
Segagah kata
Seharum bunyinya.

Patani, 2/2/2019.

9.09.
TADIKA

Tadika sebuah institusi 
Mendidik budi pekerti
menjadi insan insani
Yang berdidikari 
Dan berjati diri
Islam teguh di hati
Bahasa dilestari
Budaya dihayati
Tadika tak kan mati
Selagi kita sepakati
Mengantar anak mengaji
Di sekolah Tadika ini.

Tapi Tadika hari ini
Tergadai jati diri
Sejak duit diberi
Keikhlasan berlari
Berbalah sama sendiri
Merebut ingin menjadi
Cikgu tiada tragedi
Mengajar mengajari
Sampai rendah kualiti.

Tadika hilang jatidiri
Islam hilang di hati
Bahasa ibunda diludahi
Budaya bangsa dicemuhi.

Tadika yang kita sayangi
Sedang lemas hampir mati.

Pattani, 1/2/2019.

9.10.
WAHAI PENAKUT

Wahai para penakut
Bangunlah dari selimutmu
Sesungguhnya dirimu
dalam kerugian amat besar
Menyia-yiakan masa mudamu
Dengan maksiat dan dosa
Membiarkan dirimu
Dirasuk dadah jahanam
dadah itu kencing syaitan
Mengilakan akal fikiran
Merusakkan tubuh badan
Memusnahkan harta benda
Menghancurkan masyarakat bahagia
Mengapa kau masih bersilimut
Tidur dalam selukan dosa
Tanpa menyadari kerugian
Yang telah kau jalani
Bangunlah bangkitlah semula
Mohon ampun dan taubat
Tinggalkan kain selimutmu
Kau akan merasakan Rahmat
Nikmat kebahagian sejati.

Pattani, 17/2/2019.