7. NOR AZIAH AZIZ FADZILAH

BIODATA. NOR AZIAH ABDUL AZIZ FADZILAH atau Kamaliehudie NS (Nama Pena). Lahir pada 01.05.1964 di Kampung Jambatan Serong, Kuala Kalawang, Jelebu Negeri Sembilan. Kini bertugas di MRSM Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka. Pernah juga bertugas di Pejabat Gugusan Felcra Lakai Jelebu, Negeri Sembilan, MRSM Kuala Klawang, Institut Kemahiran MARA Jasin, Melaka, dan juga di Pejabat MARA Kota Kinabalu, Sabah. Pendidikan awal di Sek. Keb Durian Tipus, Sek. Men. Teriang Hilir dan Sek. Men. Undang Jelebu hingga tamat Tingkatan 5. Menjadi ahli Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) hingga kini dan pernah mengikuti beberapa bengkel dan kursus penulisan anjuran PEN. Antaranya pernah mengikuti kursus penulisan nobel remaja anjuran PEN/DBP di Port Dickson, Kursus penulisan buku kanak-kanak di Klang, kursus penulisan kreatif cerpen dan puisi di Seremban dan lain-lain. Hasil karya pernah mendapat tempat di akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, majalah Al-Islam, majalah Keluarga, RTM Melaka, RTM Seremban, RTM 1 dan lain-lain. Telah menghasilkan antologi puisi bersama penulis Negeri Sembilan, antaranya Sejambak Kasih, Merafaq Sembah, Gema Serunai Hati 3, dan Gema Serunai Hati 4. Juga sebuah antologi bersama, antologi RESAM, sempena Jubli Emas DBP Sabah, sebuah antologi cerpen bersama penulis wanita Negeri Sembilan terbitan DBP, antolog cerpen Jauh Di Sudut Hati. Antologi bersama Bah Kuning senggaraan Talib Samad, antologi bersama, Soneta Ombak Biru Semenanjung. Pernah menerima Anugerah Sastera Genre Puisi Peringkat Negeri Sembilan pada tahun 2005 dan juga pada tahun 2007. Tempat kedua genre Haiku dalam HesCom e-Sastera Malaysia.

PUISI

7.01. Perempuan
7.02. Seorang Perempuan
7.03. Nur
7.04. Benarkah Kita Telah Merdeka?
7.05. Buatmu Lelaki
7.06. Kosong
7.07.
7.08.
7.09.
7.10.

7.01.

PEREMPUAN

Perempuan itu matanya berpasir
tak pernah pedihnya dilempar kepada sesiapa
suka duka terbenam di kolam diamnya.

Perempuan itu memintal tali setianya
tak pernah ia meminta simpati di dada alam
kadangkala pembuluh sungainya mengalir lesu
hampir tersumbat oleh debu-debu singgah bersapa.

Biarpun tanpa siapa perduli
ia tetap utuh menyimpul
sejuta rasa lalu segala
tercurah pada Dia yang satu.

MRSM Tgb, Jasin, Melaka. 18.02.2019.

7.02.

SEORANG PEREMPUAN

Seorang perempuan
mengayam mimpi
di cermin musim
mencari kesilapan
diurai ikal rambutnya
di celah kelopak daun
yang mula layu
dan di kanvas wajahnya
yang terbiar berdebu
dimamah waktu.

MRSM Tgb, Jasin, Melaka, 16022019.

7.03.

NUR

Siang tadi engkau lelah berlari
di celah kepulan awan
mencari pelangi dan bintang.

Biarlah dingin malam ini
engkau lena di perbaringan
lempar segala lelahmu
ke luar jendela kamar
biarkan kabus malam
membalut mimpi indahmu
ke pintu dinihari.

Biarlah saat kelopak matamu terbuka
engkau bisa tersenyum
menatap cantiknya mentari
dalam pelukan pagi
kilau embun di hujung daun pun meresap
di pembuluh degup jantungmu.

Biarlah jasadmu yang lelah
bersatu dalam nur.

MRSM Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka.

7.04.

BENARKAH KITA TELAH MERDEKA

Ogos datang dan pergi silih berganti
melewati musim demi musim
dalam denyut hari
bergema lagi suara laungan keramat
memecah sunyi malam
didakapan sejarah.

Masih adakah suara-suara mereka
padu terlekat di dedaun muda
benarkah kita telah merdeka
dalam dakapan janji sumpah setia
tanah pusaka ini milik kita
masih seperti dulu
atau sungai merah yang basah
mengalir tumpah dalam keringat air mata dan darah
hanya sebuah laungan keramat
di tugu ingatan di bumi bertuah
merdekakah kita.

Hari ini suara-suara itu masih samakah
bergema di kanvas indah
pepohon rimbunan dedaun hijau
yang subur basah dari titisan hujan sebuah
kepahitan perjuangan lalu
dan merdekakah kita
dalam sambutan kemeriahan Ogos.

Biarlah Ogos yang tiba ini
mampu mengisi sebuah cinta
kental ke hujung ranting
biar kita hirup manisan berterusan
jangan ia menjadi tawar terbiar.

Setiap kali Ogos bersapa
pernahkah kita bertanya
tanah merdeka ini milik siapa
jangan hanya kemeriahan bunga api
membakar dedaun kering
tanpa pengisian tentang erti sebuah kemerdekaan.

Hari ini benarkah kita telah merdeka
di bumi bertuah tanah pusaka milik abadi
merdekakah kita.

Hari ini suara-suara itu masih samakah
bergema di kanvas indah
pepohon rimbunan dedaun hijau yang subur basah
dari titisan hujan
sebuah kepahitan perjuangan lalu
dan merdekakah kita
dalam sambutan kemeriahan Ogos.

Biarlah Ogos yang tiba ini
mampu mengisi sebuah cinta
kental kehujung ranting
biar kita hirup manisan berterusan
jangan ia menjadi tawar terbiar.

Setiap kali Ogos bersapa
pernahkah kita bertanya
tanah merdeka ini milik siapa
jangan hanya kemeriahan bunga api
membakar dedaun kering
tanpa pengisian tentang erti sebuah kemerdekaan.

Hari ini benarkah kita telah merdeka
di bumi bertuah tanah pusaka milik abadi.

Jelebu, Negeri Sembilan.

7.05.

BUATMU LELAKI
(Buat Suami Kamarul Azman & Arwah Abah Abdul Aziz Fadzilah)

Dialah lelaki yang hilang
dari jiwaku yang sepi
dari jiwa saudaraku
yang tahu tentang sabar dan setianya
seorang lelaki saay ratnanya
dirampas ke negeri abadi
dan betapa dia tabah sendirian
mendakap janji setia cintanya.

Dialah lelaki teragung
terpahat dihati
dan juga saudaraku
biar semakin jauh jarak terpisah
kusirami kelikir doa.

Engkau adalah lelaki
yang datang bersapa
menyulami kalam sepiku lalu
kau membalutkan rinduku dalam pelukan iman
dan engkaulah lelaki
yang memberikan selendang birumu
saat aku kehilangan lelaki teragung itu.

Terima kasih lelakiku
meskipun engkau tak mampu menandinginya
namun engkaulah payung cintaku untuk berteduh.

Jelebu, Negeri Sembilan.Chat.

7.06.

KOSONG

Terperam lama
air kelapa muda
dalam tepurung
berkulit hijau
diam matang
sarat terbeban
di ketuaan terus
menampung
manisan air
di pohon.

Kelapa berkulit hijau
bawah terik matahari
tewas dan merekah
memuntah segala isi
perutnya menjadi kosong
terpinggir tanpa nilai.

KAMALIEHUDIE NS
Jelebu, N. Sembilan.