2. AHKARIM

BIODATA. Ahkarim, nama pena bagi Abdul Halim b A Karim, berasal dari Langgar, Alor Setar, Kedah. Mendapat pendidikan di Sultan Abdul Hamid College, Alor Setar; ijazah BA dari Universiti Malaya pada tahun 1971; ijazah MSc (Organisation Development) dari Sheffield Harlem University (UK) pada 1986. Berkhidmat dalam Perkhidmatan Tadbir Dan Diplomatik (PTD) di beberapa Jabatan Persekutuan (Kementerian Pelajaran, Perbendaharaan Malaysia, INTAN, Pengarah JPJ Negeri Kedah, dan jawatan terakhir sebagai Pengurus Besar, Lembaga Pelabuhan Johor, sehingga tahun 2001). Berkecimpung dalam penulisan kreatif dalam genre cerpen dan puisi selepas bersara. Telah menghasilkan sebuah kumpulan cerpen Mou Sumi dan sebuah novel kanak-kanak Sir Khatim terbitan eSastera Enterprise. Beberapa buah cerpen tersiar di pelbagai media dan dalam beberapa antologi bersama. Juga pernah memenangi beberapa sayembara penulisan cerpen dan puisi. Tiga buah novel: Diari Lusuh Seorang PTDTerbang Tinggi, dan Pengakuan Seorang Tablighi (Confessions of a Tablighi) sedang dalam proses penerbitan. Pada tahun 2016, beliau memenangai anugerah tertinggi dari E-SASTERA, iaitu anugerah Sasterawan Alam Siber (SAS).

PUISI

2.01. Aku Seorang Pejuang
2.02. Temali Di Pantai Sakom
2.03. Aku Ingin Jadi Air, Bukan Batu
2.04. Sayang Pantai Sangeang
2.05. Kasihan, Hanya Itu Mampuku
2.06. Tuah-tuah Kecil – 1
2.07. Nikmat Kecil
2.08. Tidak Turut Ke Medan Juang
2.09. Tembolok @ Tengkolok @ Keris – Golok @ Goblok
2.10. Pemberi Sembunyi Tangan

2.01.

AKU SEORANG PEJUANG 

Ya, aku seorang pejuang
sesungguhnya aku seorang pejuang
aku benar-benar seorang pejuang.

Ke utara aku berjuang
ke selatan aku berjuang
ke timur ke barat aku pasti berjuang.

Ya, aku seorang pejuang
aku tidak pernah takut
aku tidak pernah kecut
aku tidak pernah cabut
sebab aku seorang pejuang.

Aku pejuang tulen
sanggup korban apa saja
harta maupun nyawa
demi bangsa agama dan negara
percayalah, aku orangnya.

Aku telah berjuang mati-matian
ke tengah ke tepi tanpa henti
tapi satu perkara sebenarnya yang aku idami
mm… segan pula nak kubicara di sini
di kiri dan di kanan telah aku berdiri
duduk saja yang belum lagi
sebenarnya yang kucari adalah sebuah kerusi.

31/10/18.

2.02.

TEMALI DI PANTAI SAKOM

Aku kutip
dari timbusan pasir
mungkin penambat perahu
sang nelayan beratus tahun lalu
juga mungkin sang kekasih kecewa lalu membunuh diri di situ
mungkin melilit perahu Pak Chu mahu menawan merebut Patani kembali.

Pengikat itu kini walau luntur 
aku kutip basuh bawa kembali
mungkin di seberang ini
cerita baru terkisah
tentang Segenting Kera
tidak mahu di kerat.

Coco One Villa, Pantai Sakom, Songkhla, Thailand, 21/04/17.

2.03.

AKU INGIN JADI AIR, BUKAN BATU

Tuhan, 
biar aku jadi air, bukan batu
jadilah aku air.

Kerana air mengalir, batu kaku
kerana air membentuk, batu dibentuk
kerana air mengukir, batu diukir
kerana air lembut, batu berlumut
kerana air mencurah, batu menyerah
kerana air kembara, batu menunggu
kerana air membasuh, batu dibasuh
kerana air menyapa, batu kelu
kerana air mengusap, batu menghempap
kerana air mengwuduk, batu istinjak.

Tuhan, jadilah aku air
kerana air hidup, batu mati
kerana air itu aku!

Assyajarah, 3007.

2.04

SAYANG PANTAI SANGEANG

Sisa terdampar
dibantai ombak
membawa cerita lara
mahu diceritera kepada pantai
mungkin kisah dia dipenggal
dibakar dihumban.

Kata pasir penerima sisa
aku mahu memilih
hanya penyu menggali dadaku
telur nya disembunyi di rusukku.

Kata sisa merayu
sabarlah pantai
esok lusa ada pariwisata
mengumpul membakar kami
membersih dadamu.

Kata ibu penyu
jagalah telurku
akan lahir seratus warisku
dari dada putihmu
jika sisa berlalu.

Kata pulau
tolong, aku diintai
korporat bermata liar tanpa hati
seluruh aku pasti terobek.

Pantai Sangeang, Cilegon, Banten, 16/12/17.

2.05.

KASIHAN, HANYA ITU MAMPUKU

Selebihnya tiada
dan ia tidak upaya mengubah apa-apa
tika aku menapak jejak di tembok
aku dengar raungan sang isteri mencari suami 
yang mati saat menyusun batu
rebah lalu ditanam jasad kurusnya di tangga itu
di bawah tapak kakiku.

Aku bermewahan dengan kasihan
fikirku itu kekayaan
rupanya aku mempamer kemiskinan
kerana sejuta isteri menangis
sejuta ibu meraung
sejuta anak teryatim
buat memuas nafsu penguasa
membina beribu batu tembok
menggali selaut tasik
dan aku hanya menghulur kasihan
walau aku punya kemahuan
tanpa upaya menahan.

Beijing, 19/3/18.

*Terilham selepas berkunjung ke Tembok Besar Cina dan Istana Musim Panas.
*Terilham pula apabila teringat kata-kata Pramoedya Ananta Toer lewat novelnya BUMI MANUSIA: ‘kasihan hanya perasaaan orang berkemahuan baik yang tidak mampu berbuat).

2.06.

TUAH-TUAH KECIL – 1

Mereka sedang diajar bermain keris telanjang
dibiar tikam-tepis di pasar dagang
silat menyepak terajang melutut menendang
pencak entah bunga entah pulut tanpa serunai dan gendang.

Tersepak Dang Ijah yg sedang meraut lidi penyapu
tersiku Pak Lentok yg sedang membelah kayu
tersodok rusuk Tok Hijau yg sedang mengendur lembu.

Tuah-Tuah Kecil
diajar pantun dan syair
merapu mantera meracau serapah
memuji memuja sekaki payung 
menyembah sujud sepundak mahkota.

Tuah-Tuah Kecil
diberi persalin
diikat tanjak tengkolok
dipulas songket sampin
menggalas tombak cokmar
berarak pembesar di pintu keraton.

Tuah-Tuah Kecil
sekali-sekala diajar bermain congkak
melayang wau meniup serunai
bersepak raga dengan anak-anak gundek.

Tuah-Tuah Kecil
memencak gagah 
sujud menyembah.

As-Syajarah, 16/6/18.

2.07.

NIKMAT KECIL
(Buat Tanika*)

Apabila sekali tarik badannya terus bergegar
berlagu serata dan lembut
lalu lantas melompat merangkul.

Nikmat kecil kami nikmati bersama
sambil berdansa menapak
melangkah berangkulan
merata permaidani bumi Pencipta.

Nikmat kecil itu sebenarnya besar
apabila seratus kali kutarik
badanmu terus kaku 
lalu hariku berlalu tepu
tanpa rangkulan panas badanmu.

As-Syajarah, Kuala Nerang, 13/1/18.

*sebuah mesin rumput murah berusia 13 tahun

2.08.

TIDAK TURUT KE MEDAN JUANG
(buat anakanda Rozan Azen Mat Rasip)

Aku tidak turut berperang
bukan kerana ladang tamarku sedang menguning buahnya
bukan kerana dihasut Abdullah Al Munafiqun dan kabilahnya
bukan kerana diminta Nabi menjaga kota
bukan kerana uzur apa-apa.

Mujurlah
kita menang juga perang itu
walau tanpa genderang dan pedang
mujur maruah tertebus
walau tanpa Khalid Al Walid di hadapan
walau Hamzah syahid dilapah
mujur kerana seorang pemuda yg tangkas itu
bermantera sentiasa: “Di depan duri di belakang api, Kita tidak boleh berundur lagi”
persis Mush’ab bin Umair
walau tangan kanannya dipangkas 
disambar panji-panji dengan tangan kiri
tangan kiri dipangkas
didakap erat di dada
namun undur pantang sekali
walau tesembam mencium bumi.

Dan aku yang gagal turun di medan
kini berperang dengan diri
bertanya buat mengabsah pendirian
kenapa dibiar pemuda sendirian
aku bukanpun Kaab bin Malik
sesal menunggu kata keampunan
sekadar situa sering fikir:
tentang martabat dan hebat diri.

As syajarah, 20/8/16.

2.09.

TEMBOLOK @ TENGKOLOK @ KERIS – GOLOK @ GOBLOK

Kami hanya setahun sekali-dua
meratah daging di rumah..oops istana YAB
hari-hari biasa kuah cair sayur ubi.

Terima kasih Tuanku..Oops, maaf, Tuan Menteri
dari dulu hingga kini
sang setia itu kami.

Raya tahun ini YAB kenduri
seperti setiap tahun di Aidilfitri
(Auuuukk…Alhamdulillah… sendawa)
aku dan warisku sumpah setia 
biar mati bergalang mm.. pitih
demi bumi merdeka tercinta.

Tkasih Tuanku..oops YAB
(salam menggenggam sampul)
lihat lambang setiaku padamu
tembolok..oops, maaf, tengkolok
melilit pundak
keris golok terselit segak
sampin songket berbengkong.
(Ahakk… tersumbat rengkung, sambil tangan menadah tempurung)

Terima kasih YAB, salah-silap minta ampun 
kami di rumah… oopps, istana YAB saban tahun
berpencak silat walau tiga-suku rabun
kata mereka kami kelihatan seiras badut dan kartun
namun YAB wajib kami santun
sebab kami sekadar akar seruntun.

As-syajarah, 1/7/2017.

2.10.

PEMBERI SEMBUNYI TANGAN

Suaraku tiba-tiba tersangkut di Surah Yunus
juzuk ke sebelas di mushaf usang samar lalu hilang
silaku di hadapan rihal kayu terpaku kebas
hamparan di lantai masjid terasa terlalu nipis.

Teks di skrin malam tadi jelma lagi
merusuh di ruang musolla
dadaku ketat
mataku kabur basah
lafaz akad terima dari asnaf
terpancul di lidahku, kesekian kali
ayat-ayat Allah jadilah saksi. 

Pemberi sepi sembunyi tangan
“Ini bukan wangku, itu hak mereka” 
Allah, dengarlah suara sepi itu
bukan suara dari lidah
suara itu dari hati.

As-syajarah, 22.11.17.