1. ABDULLAH TAHIR

Nama sebenar Hj Abdullah Hj Mohd Tahir lahir pada 26 Disember 1946 di Kampong Danau, Tutong. Sekarang menetap di No. 269, Kampong Penapar Danau, Tutong. Jawatan terakhir sebelum bersara pada tahun 2002 sebagai Penyusun Kegiatan Luar, di Jabatan Ko-Kurikulum, Kementerian Pendidikan. Mula bersekolah di Sekolah Melayu Danau, Tutong sehingga darjah V dan melanjutkan pelajaran ke darjah VI di Sekolah Melayu Ahmad Tajuddin, Kuala Belait seterusnya menamatkan persekolahan dalam darjah VIII di Sekolah Melayu Muhammad Jamalul Alam, Bandar Brunei. Pada Ogos 1962 memasuki kerjaya guru menjadi Guru Pelatih dan seterusnya mengikuti kursus di Maktab Perguruan Melayu Brunei pada tahun 1963 sehingga 1965. Bertugas dibeberapa buah sekolah menengah dan terakhir di Sekolah Menengah Melayu Ahmad Tajuddin sebelum dihantar mengikuti Kursus Bahasa Melayu di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 1973. Semasa menjadi Guru Besar dihantar mengikuti Kursus Pentadbiran di Brighton Polytechnic England pada tahun 1978. Sekarang bergiat dalam Majlis Perundingan Kampong dan Mukim serta di Badan Kesenian dan Kebudayaan (B2K) Daerah Tutong dan menjawat jawatan Pmk Ketua Kampong Danau, Tutong. Berkarya sejak tahun 1964 dalam bidang sajak, cerpen, drama radio dan drama pentas serta beberapa buah kertas kerja bagi kegunaan kegiatan-kegiatan persatuan, badan-badan dan  Majlis Perundingan Kampong.  Karya penulisan sajak dan cerpen serta sandiwara kebanyakannya termuat dalam akhbar Salam, Bintang Harian, Radio Brunei, Majalah Bahana dan Media Permata. Karya-karya puisi beliau diterbitkan dalam beberapa buah antologi puisi bersama terbitan DBP Brunei yang terawal antologi Kosovo Bilakah Langitmu Kembali Biru (DBP 2000) dan terakhir antologi Kemercu Emas – Antologi Sajak Penulis-Penulis Daerah Tutong (DBP, 2011). Manakala terbitan Pusat Da’wah Islamiah yang terawal antologi  Puisi Hidayat III (Pusat Da’wah Islamiah, 2005), Puisi Hidayat IV (Pusat Da’wah Islamiah, 2009), Puisi Hidayat V (Pusat Da’wah Islamiah, 2011), terakhir antologi Puisi Hidayat VI (Pusat Da’wah Islamiah, 2013). Antologi puisibeliau bersama penulis luar negara ialah Antologi Puisi Kepada Sahabat (DBP Cawangan Sabah, 2013), Antologi Puisi Lentera Sastra I, (Indonesia: Komunitas Puisi Bait Kata Suara, 2013) terbitan Sembilan Mutiara Publishing Trenggalek, Lentera Sastra II, Antologi Puisi Lima Negara, (terbitan Sambilan Mutiara dan Lentera Internasional 2014 – Indonesia).Antologi Puisi ASEAN Doa Seribu Bulan (terbitan Perkumpulan Rumah Seni Asnur Mei 2018) dan Antologi Puisi GURU Tentang Sebuah Buku dan Rahasia Ilmu, Gerakan Akbar 1000 Guru Asean Menulis Puisi (terbitan Perkumpulan Rumah Seni Asnur, September 2018).

PUISI
1.01. Menanam Derhaka
1.02. Hilang Seludang
1.03. Kebobrokan
1.04. Hikmat Dan Rahmat
1.05. Bisik Bicara
1.06. Bicara Berkonon Dan Berlapis
1.07. Garis Akhir
1.08. Faktor Umur
1.09. Berfenomena
1.10. Kita Atau Sahabat

1.01.
MENANAM DERHAKA

Saat ada suara yang meraung sakit
kita masih bisa bicara soal keamanan
dan kemakmuran
di lintasan angin berbau bunga
yang wanginya basah di dedaun hijau
sedang di sana masih belum usai
dengan ribuan persengkitaan
hanya pada sekeping tanah gersang
yang telah dimamah oleh dentuman bom dan mortar
daging dan tulang tumpah bersama darah
dan air mata
kabut oleh debu-debu yang pekat
sebuah saksi sahih
derita dan sengsara petanda
mereka masih setia pada tanah airnya
dan kita yang bangga dengan kemakmuran
yang berketurunan
masih sahaja ada yang menanam derhaka
pada bangsa dan negara.

27 Januari 2019.

1.02.
HILANG SELUDANG

Silapnya kita hilang seludang
saat rambu-rambu hari yang semakin kelabu
kita terheret sama menganyam waktu
membingkai sikap dan sifat
mengusung mayang jauh ke perdu
rentak dan gendangnya kita sahut
tanpa melihat logik dan fakta
wangian yang kita nina bersama perkasanya bangsa
semakin cair yang tidak lagi membekas tumpahnya
walau hati sejernih air embun di waktu subuh
akhirnya kita pun berkeriauan mencari punca
yang sudah hilang peradaban dan nilainya
semakin terhakis oleh tragisnya
kita menyuburkan amarah menebar fitnah.

16 Januari 2019.

1.03.
KEBOBROKAN

Siapakah antara kita memberi simpati
pada pergolakan yang melingkari diri
di sana sini telah tular dengan bermacam cerita
dari yang sebaik merangkul pahala
kepada yang seburuk memikul dosa
adakah antara kita hanya menidakkan
segala kebarangkalian yang mungkin menjerat kehidupan
atau akur saja pada setiap yang memedihkan mata dan hati
saat melihat dan menyaksikan segala kebobrokan
sehingga kita terpasung oleh kehinaan
yang memalit nama bangsa dan ugama
negara menjadi bola yang disepak terjang
kita yang dulunya aman dan tenteram
terpaksa menelan segalanya
meski menyangkar di tenggorokan
dan tiada apa kita pada mata mereka.

8 Januari 2019.

1.04.
HIKMAT DAN RAHMAT

Kiranya hujan tidak teduh
mestikah aku terus menahan ketar
yang dinginnya menulang
November ini aku sering tergundala
hujan tidak menentu membuatkan aku kecundang
pada program dan janji yang disetujui
siapalah kita yang berani menongkah janji-Nya
kerana setiap yang berlaku ada dengan rahsianya
saban hari kuterima perkongsian ramalam cuaca
yang membawa amaran peringkat kuning
meminta kita sentiasa berwaspada
setiap butir hujan yang jatuh ke bumi
akan adalah berita dan ceritanya
setiap hembusan angin dan ribut
akan terdengarlah derita dan sangsaranya
demikianlah bila Dia menurunkan sesuatu
pastilah ada hikmat dan rahmatnya.

18 November 2018.

1.05.
BISIK BICARA

Bilakah terakhir kali kita berbisik
bicara tentang dunia semakin sempit
terpunah oleh tangan-tangan rakus
mengisi agenda tamak sendiri
suara tenat kita semakin jauh
dari sidang keramat
dan tidak siapa yang gemar mendengar
pembelaan kepada mereka yang tangisnya berdarah
tidak siapa pun terusik hati
dan begitulah mereka dengan laranya
bagaikan nasib dan takdir lepas dari genggaman
petandakah kita di hujung tanduk
manusia bertaring sudah tidak berbisa
tiada siapa kecut menentang matanya
dan kita terus berbisik dan berdoa
kerana kita umat Muhammad
doalah senjata ampuh
mententeramkan jiwa
sehingga masa itu tiba.

8 September 2018.

1.06.
BICARA BERKONON DAN BERLAPIS

Kita adalah kafilah-kafilah
hanyut di padang pasir tandus
gagal mencari arah ke dermaga hayat
keberkatan dan rahmat-Nya
bagai tidak bertapak memayungi diri
jauh dan tersasar dari doa dan harapan.

Salam dan huluran tangan
nada dan getarnya hambar dan tawar
sliaturrahim yang dizahirkan sudah hilang sarinya
kerana di dalamnya berserabut dan berhajat
pada wajah-wajah pun serinya bertimpalan 
goyah dan rapuh.

Kita adalah kafilah-kafilah kecundang
termomok oleh rasa bangga diri
dalam bicara yang berkonon dan berlapis
cuba meyakinkan kitalah orangnya
yang niatnya kerana Dia.

 22 Jun 2018.

1.07.
GARIS AKHIR

Saat mata hati tertutup rapat
tiada lagi kudrat 
sudi menjengah dan menyapa
camar-camar liar menyungsung angin
kini galak meninggalkan lapangan
bagaikan satu demi satu mencalit warna
mengikis panorama pantai
berbicaralah pada laut dan ombak
kenapa mesti pantai dan daratan menjadi mangsa
hanya dalam beberapa waktu merobah makna
pengkarya ketandusan ilham
mengukir pelangi di kanvas hayat
sudahnya
siapalah mampu menongkah takdir
siapalah jitu menyanggah kuasa-Nya
laut dan ombak
pantai dan daratan
tidak selamanya indah dan damai
garis akhir akan hadir jua 
tanpa diketahui bila.

17 Jun 2018.

1.08.
FAKTOR UMUR

Sejak mengenali diri
laluan yang panjang menuju senja
pernah menempuh onak dan duri
bahkan menikmati haruman pagi
dipenuhi bunga dan bintang malam
yang kedipannya di sisi bulan
melekakan kehidupan
meski suatu saat dan ketika
diri ini digoncangi oleh sakit dan derita
apa lagi dibebani oleh tugas 
kerja yang mencabar 
ditekuni oleh rasa tanggung jawab
tidak sedikit pun merasa perubahan diri
apakah diri ini masih remaja
atau muda belia dan dewasa
atau apakah sudah tua
hati dan rasa masih saja tidak mengalah
kerana dilakari oleh ego yang memamah diri
tau-tau dalam berlari dan merangkak
diri ini telah dikongkongi oleh usia
berengsot menggalas angka
dengan nisbah yang menaik
andai diri ini tersasul melakukan sesuatu
dalam neraca yang bertentangan
sedialah mengaku
itu bukan kesilapan tetapi ianya faktor umur.

 7 Jun 2018.

1.09.
BERFENOMENA

Sungai tak pernah jemu
membawa sampah dan saraf
ke hulu atau ke hilir
sesekali airnya melimpah
dan sampah saraf pun menepi
tebing-tebingnya terpenuhi dengan kotoran
alami sungai dan tebing pun tercemar
hilanglah keindahannya
musim tengkujuh datang
sungai tak mampu bertahan
kederasan air yang naik tiba-tiba
memangsakan segala yang ada
banjir terjadi – adalah berita
memusingkan fikir dan tindakan yang berwajib
maka akan hadirlah mereka dengan segala upaya
membantu mana yang terjejas
menghulurkan bantuan berupa makanan dan kemudahan
memindahkan ke tempat selamat
berkampung dan bermalam sehingga keadaan usai
badan sukarelawan demikian tugasnya
pihak berwajib begitu pulalah tanggungjawabnya
itulah fenomena alam yang terjadi mengikut waktunya
tanpa isyarat dan jadual pasti
menjadikan yang terjejas dan terlibat pun berfenomena
maka akan adalah usul dan cadangan
maka akan adalah yang geram dan marah
maka akan adalah yang tak puas hati
maka akan adalah yang mengadu dan merayu
setelah berhempas pulas menanganinya
maka akan adalah waktunya fenomena diam
segalanya berjalan seperti biasa
segala yang tegang sudah dilupakan
segala usul dan cadangan dimalamkan
segala aduan dan rayuan semacam usai
sehinggalah fenomena banjir kembali melanda.

3 April 2018.

1.10.
KITA ATAU SAHABAT

Bukan mudah melenyapkan kenangan
selagi ia mengumbi di puri-puri hati
terungkai cerita bila kenangan mengimbau
bagai terpampang di kanvas mata
peristewa silam bagaikan baru
lalu menyangkutlah soal budi dan jasa
kalau rajin menelusuri dan memisi
ada juga kenangan mengusik jiwa
dan kita bukanlah menidakkan jasa dan budi
walau terlihat berlaku selamba
kitalah pengamanah setia
bahaya andai ditunjukan diri dan wajah
dengan menghadirkan nya pengenang budi
kerana bukan sedikit yang minta dibalas
yang mendatangkan takrif berbeza
tak kurang pula
kerana budi jasad tertawan
biarlah kenangan dan budi sejalan ikhlas
kiranya terimbau cerita duka berbau khianat
segeralah memohon kemaafan
kerana jalanan hidup yang cuma sedikit
senja sentiasa hadir membawa takdir
kalau bukan kita tentunya sahabat 
yang kita gunjingkan baik dan buruknya.

31 Mei 2018.

TAMAT.