4. JABIT ABDUL AZIZ

JaBiT Abdul Aziz merupakan nama pena bagi Haji Abdul Aziz Tuah.  Dilahirkan pada 17 Mac 1963 di Kampung Saba Darat.  Beliau berkelulusan GCE A Level. Mula menceburi bidang penulisan cereka pada tahun 1981 melalui Hadiah Nobel (sandiwara radio, 1981) dan cerpen bertajuk “Korban” (siaran radio).  Novel pertama dihasilkan ketika menyertai Peraduan Menulis Novel sempena Awal Tahun 1400 Hijrah (1981) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei berjudul, Jambot. Mula menulis cerpen pertamanya dalam tahun 1981 dan kembali menulis dalam tahun 2008 setelah kemarau karya cerpen selama 27 tahun dengan menghasilkan beberapa buah cerpen dan sajak.  Kesemuanya diterbitkan dalam majalah Bahana. Novel yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei Darussalam ialah novel remaja G.P. (2001), novel remaja “s.i.r!” (2007) dan “Sa.b.a.!” (2010). Pernah mewakili Negara Brunei Darussalam sebagai peserta Program Penulisan Mastera: Novel pada tahun 2001 di Indonesia dan menghasilkan novel “Sa.b.a!” Penerima Hadiah Kreatif Bahana DBP-BSP (kategori Cerpen) pada: Tahun 2008 dengan cerpen berjudul pe.jam.; Tahun 2009 dengan cerpen bertajuk pe.rang. Penerima Hadiah Pertama dalam Peraduan Menulis Cerpen Acara Sampingan Majlis Ilmu 2008 melalui cerpen berjudul pe.jal. Pada tahun 2015, melalui novel Sa.b.a.!, beliau diangkat sebagai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara oleh Kerajaan Thailand di samping penglibatan beliau dalam bidang penulisan kreatif sastera di Brunei Darussalam. Bermula tahun 2015, mempelopori penggunaan perkataan yang diceduk daripada Kamus Bahasa Melayu Nusantara terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Negara Brunei Darussalam dalam karya cerekanya bagi menyatupadukan, menghormati, mensohorkan kayanya perbendaharaan kata Bahasa Melayu se-Nusantara”.  Pada masa yang sama, pendekatannya ini membolehkan karya cerekanya, dapat dibaca dan dinikmati oleh penduduk Nusantara yang melebihi 250 juta jiwa dibanding dengan Negara Brunei Darussalam yang mempunyai sekitar 0.3 juta orang.

PUISI
4.01. a.l.t.r.u.i.s.m.
4.02. i.t.h.a.r.
4.03. p.r.i.hat.in.
4.04. pe.tung.
4.05. a.i.b.
4.06. pe.su.k.
4.07. ba.t.ha. versus ha.t.ba.
4.08. pe.rang.
4.09. pe.t.aya.
4.10. bersama ma.k.a.N.

4.01.
a.l.t.r.u.i.s.m.

Terfikir kotak fikiranku andainya lautan banjir
…kerana air laut semakin meninggi
meninggi terus
terus rundung bawa berita
berita yang cemas
berita yang lemas
usaha terus dan terus
terus bermaksud tidak bernoktah
bernoktah indah jika dirungkaikan
namun kita penduduk bumi penjaga laut
laut guna sesama manusia
laut tidak guna manusia.

Air laut semakin meninggi…

“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.

altruism bermakna “unselfish concern for others”.

4.2.
i.t.h.a.r.

Di sana sini, manusia diainyaya
perimu inda ada terhadap manusia
hei yang menyiksa, kau juga manusia?!
kuasa tahu hari ini harimu
besok awda akan bangkit
bangkit dengan cengkaman rubit!

“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.

ithar (asal perkataan Arab) bermaksud mengorbankan kepentingan diri sendiri untuk orang lain.

4.3.
p.r.i.hat.i.n.

Syuruq jelmakan diri, perbanyakkan zikir
zikir syahdu qalbu rawan
menerjah masuk indah yang terindah
detikkan hati terus ibadah
sekujur badan nilik…

“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.

prihatin bermaksud mengambil berat (menaruh perhatian, dsb) terhadap sesuatu perkara.

4.4.
pe.tung.
(diilhamkan dari cerpen dalam Bahana, Mei 2009)

Bangun pagi, rasa riuh
riuh berbeza
ibadah dicambah berbagai indah
indah membaca ayat-ayat suci, istiqamahkan membaca dan telaahnya.
…. surah Al-Waqiah.

Istiqamahkan, berkat melekat
walaupun kau hanya pencabut tunggul
semua perlukan hati yang iski gembira
iski gembira dibibitkan dengan istiqamah.

Pilihanmu lurus
tarikan nafsu serakah rebah
nafsu serekah mengambil yang bukan hakmu.

Alhamdulillah.

“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.

petung (perkataan dari Kelantan) bermaksud baling; buang;lontar.

4.5.
a.i.b.
(diilhamkan dari cerpen yang diterbitkan di E-sastera.Vaganza ASEAN, 25/01/2019)

Remeh-temeh tidak diendahkan
remeh-temeh dilupakan
remeh-temeh jika bangkit…
…bangkitnya berpadah.

Kotoran licak diremeh-temehkan selepas istinja’?
tidak dikumbahkan
dilupakan
dilupakan jangan kerana ia rayap
perhatikan seluasnya mengenai taharahnya
kotoran licak dimandikan dengan air biru
bicarakan menguruskan kotoran licak bukannya benda aib
kotoran licak hidup dengan E-coli…

“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.

4.6.
pe.su.k.
(diilhamkan dari cerpen yang diterbitkan di E-sastera.Vaganza ASEAN, 31/01/2019)

Kertas putih tidak bermaya
kertas bertinta hitam bergaya
kertas membawa khabar ditunggu-tunggu
siapa penghantar surat khabar, wirakah dia?

Hantar surat khabar luaran sahaja
dalaman, hubungan qalbu dirasakan
tolong kawan bererti tolong kemanusiaan.

Tandas wang, diri tertawan
tandas wang, perhambaan jiwa maharajalela
jiwa binasa!

“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.

4.7.
ba.t.ha. versus ha.t.ba.
(diilhamkan dari cerpen dalam Bahana, Ogos 2008)

Kaki tendang bola
tangan tidak tendang bola
tangan tidak tangkap bola
tangan disukat dari hujung jari ke pangkal lengan
kaki sepak bola jadikannya bolasepak.

Penjaga gol sahaja yang boleh tangkap bola…
…terhad kawasannya.

Tangan jana sengketa jika tangan terkena bola…
…atau bola terkena tangan…
ball to hand atau hand to ball.

Di dalam padang pengadil jadi sasaran
bola bergerak laju
mata terhad gerak lajunya
mata cepat letih
keletihan cipta kesilapan
kesilapan gaplah gumanta sengketa
sengketa bibitkan permusuhan
sengketa jana rugi
sengketa buntingkan perkara negatif.

Isu selesai: berikan sepakan tidak terus percuma (indirect free kick)?

Untung ada V.A.R. (Video Assistant Referee): selesaikah sengketa?

Bolasepak terus hidup dalam ‘kita’ kerana ada magnet misteri.

“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.

4.8.
pe.rang.
(diilhamkan dari cerpen dalam Bahana, September 2009)

Datang petang, hatinya suka
berpesta siruk darah
muncungnya terlalu seni tajam lukakan kulit manusia
sekadar cari makan tidak apa
darah disiruk terlalu tidak seberapa.

Takutnya manusia, hamba Allah ini bawa kuman
kuman yang iski jangkitan
jangkitan yang mengangka korban.

Bolehkah angin alami yang diparam dalam botol jadi pembunuh rangit?
penaka racun ular menjadi penawar dari racun gigitannya.

“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.

4.9.
pe.t.aya.
(diilhamkan dari cerpen dalam Bahana, September 2009)

Otakku bengang
jantungku degup kencang
kudrat badan letih
jika kena, aku ‘terbang’ lama sebelum runduk
runduk terpacak ke bumi
bumi nan mati.

Kau menjadi pencuri
mencuri hidupku, rosak sana sini.

Apa kaitan giat liarmu dengan telor ayam?

Sedozen telor ayam tempatan untuk dimakan
dimakan penuh sopan
sopan melihat bayang angka
angka empat untuk ‘ditikam’
ditikam kena
kena laba wang
wang haram.

Kerana haramnya wang, tandas lepas kebas!

“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.

petaya ialah tumbuhan memanjat; akar saga paya.

4.10.
bersama ma.k.a.N.
(khas untuk E-SasteraVaganzaASEAN)

Kau kumpulkan bakat
bakat menyusun kata-kata
kata-kata indah didengar
mutiara dilihat
niatmu untuk majukan kesusasteraan
kesusasteraan yang ampuh kesatuan
menyatukan perbezaan Bahasa walau serumpun
menyatukan perbezaan budaya
seluas Nusantara.

Gerak ke hadapan untuk bina tamadun
tamadun dahulu agung yang kita punya.

“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.