5. CT NURZA

CT Nurza atau, nama sebenar, Siti Nur binti Zainal. Dilahirkan pada 18 Sept 1971. Berasal dari Jerantut, Pahang Darul-Makmur. Minat menulis semenjak di bangku sekolah dan bergiat aktif bermula penghujung tahun 1989 sehingga kini. Banyak menulis ulasan buku, rencana sastera dan karya-karya eceran di akhbar dan majalah arus perdana Malaysia. Pelbagai pertandingan-pertandingan mengarang anjuran radio rtm, akhbar, majalah dan komuniti facebook serta wattpad dalam pelbagai genre turut dimenangi (1990-2018). Antologi terkini Syair Kanak-kanak “Untung Menabung” telah pun diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) 2018, Kumpulan Syapen Pahang Dalam Syair “Tuk Suji Bilang” diterbitkan oleh Perpustakaan Awam Negeri Pahang (2018) serta beberapa buah lagi antologi bersama diterbitkan di Malaysia dan Indonesia (2018). Merupakan salah seorang Pemenang Hadiah Penghargaan Sayembara Menulis Puisi/Cerpen PKPP-DPMP 2017/2018 (Kategori Cerpen) anjuran Dewan Persuratan Melayu Pahang. Juga ¬†Pemenang Fiesta April 2018 Wattpaders Malaysia kategori ‘Short Story’ Prompt Paranormal dan Pemenang Sayembara Halloween Vault 2018 Wattpaders Malaysia kategori ‘Short Story’ Pesta Topeng Prompt Romance. Lebih 100 buah antologi bersama pelbagai genre telah disertai dan diterbitkan (di Malaysia & Indonesia), 2013-2018. Telah menghasilkan buku solo pertama Kumpulan Sajak “Bak Bakawali, Mineral, Daun Lebar dan Kokila” terbitan JS (Jom Sastera) Ogos 2018. Aktif mengikuti program-program Kembara Seni, Bahasa, Sastera & Budaya bersama Ziarah Kesenian Nusantara sejak 2015-2018. Kini aktif berkarya bersama grup e-Sastera.Vaganza ASEAN (2018-2019).

PUISI

5.01. Pelimbang
5.02. Kita Dan Kematian
5.03. Menangkis Tanggapan
5.04. Nila Nan Setitik
4.05. Tsunami Banten Menjentik Nubari
5.06. Syair: Tsunami Sunda
5.07. Gurindam: Ada Pun
5.08. Dansa Ilalang
5.09. Mentari Retak Di Birai Ombak
5.10. Kuatren: Membingkai Kesetiaan.

5.01.

PELIMBANG

Kadangkala…
aku senang menjadi pelimbang
merantau jauh ke perkampungan pengalaman
sendirian berjalan membawa haluan
haluan menyusuri kekhilafan
agar bertemu tujuan
tujuan menghalusi diri
diri yang penuh cela
jua tompok dosa yang tercalit.

Pada kelana yang panjang
kusinggahi sungai jernih nan deras
kuhanyutkan seludang kejahilan
membilas wajah kehidupan
di tebing kesedaran
kutemui kemilau istighfar
menerangi telaga jiwa.

Port Klang, Selangor, Malaysia, 11 Feb 2019, 4:07 ptg.

5.02.

KITA DAN KEMATIAN

Sepantas mana kita berlari
sebijak mana kita menghindari
sejauh mana kita bersembunyi
mengelak diri daripada kematian
kita tetap diburu maut
biar cuma sekilas pandang
tidak terduga atau terjangka
kematian tetap menghambat diri
walau hanya di muncung pistol
ia tetap datang
tanpa kita ingini dan sedari
peluru menembusi dagu
itulah realiti hari ini
tembakan dilepaskan tanpa pertimbangan.

Jerantut, Pahang, Malaysia, 6 Feb 2019, 2:14 ptg

5.03.

MENANGKIS TANGGAPAN

Siapa kata Melayu bangsa pemalas?
malas itu bukanlah kerana bangsa
malas itu tabiat semulajadi sikap peribadi
peribadi yang diasuh sendiri
oleh empunya diri tiada sifat mandiri.

Malas itu pembawakan individu
tabiat dalaman yang sukar dihakis
ada pada berbilang bangsa
bukan sahaja Melayu seperti yang dinyata.

Usah memperlekeh bangsa sendiri
Melayu juga sudah banyak yang berjaya
setaraf dengan semua bangsa
gah di persada antarabangsa.

Sedarlah…
kutukan tak menambah kebaikan
penghinaan tiada memberikan dorongan
hanya menjadi asbab bangsa Melayu
sentiasa berburuk sangka bahana lidah
tidak bertulang seenak kata berbicara
tanpa memikirkan akan natijahnya.

Port Klang, Selangor, Malaysia, 4 Feb 2019, 6:32 ptg.

5.04.

NILA NAN SETITIK

Hanya kerana nila nan setitik
lantas rosaklah susu putih sebelanga
menjadi cemar warna bertukar rona
tompok noda menyakiti pandangan
dicium tak sudi dipandang apatah lagi
bagai racun bisa menular ke saraf
membunuh percaya berisi mandat ibunda
justeru rasa pun berubah rengsa.

Sekian lama…
pembangunan jua pendidikan
tertangguh alpa terbiar sepi dipinggir
janji-janji manis telah banyak dimungkiri
lantaran kerakusan memburu kemewahan
senyap menerima habuan berdiam diri
yang susah bertambah payah meraih simpati
pabila kuasa disalah guna oleh yang berkuasa
luar bandar ketinggalan pembangunan kemajuan
demikian negara berdukacita sehingga rakyat merintih resah mengemis seumpama peminta sedekah
lantaran keluhan acapkali diabaikan
rasuah menjadi mainan birokrasi.

Kini harapan dipacak setinggi gunung
belalah nasib marhaen di ceruk desa
agar terkota janji dan amanah bangsa
semoga visi terlihat nyata
membuka mata dan jua minda.

Port Klang, Selangor, Malaysia, 4 Feb 2019, 11:33 pg.

5.05.

TSUNAMI BANTEN MENJENTIK NUBARI

Saat petir berdentum
kilat sambar menyambar
meledaklah Gunung Anak Krakatau
mengejutkan seluruh warga
memuntahkan lava-lava pijar
meletus bagai petanda
tsunami bakal melanda
di Banten dan Lampung
pada sabtu yang lalu.

Demikian ombak sesekali menerjah
laut yang tenang merubah pandang
ombak gergasi datang berhambatan
memanjat tebing dan hotel mewah
menghempas musnah bangunan agam
sehingga bumbung-bumbung hanyut
ditenggelami air
dan nyawa pun direnggut ganas.

Tsunami Sunda jadi ingatan
kehilangan mangsa sukar ditemukan
sebahagian telah dijemput ajal
Gunung Anak Krakatau terbelah dua
tatkala letusan dahsyat melanda
bongkahan gunung jatuh ke laut
gelombang tsunami tinggi menghempas
pecah terbelah perahu nelayan
hancur musnah di tengah lautan
air jernih menjadi keruh
berubah bau bercampur belerang
berlumpur hitam laksana kopi
bencana tsunami menjentik nubari
semoga tragedi tak berulang kembali.

Malaysia, 31 Dis 2018, 7:59 mlm.

5.06.

SYAIR: TSUNAMI SUNDA

Awalul kalam mula bicara,
kepada semua salam sejahtera,
izinkan hamba bersyair ceritera,
tentang tsunami ombak bercempera.

Bencanalah tiba tiada terduga,
terpisah diri dari keluarga,
tsunami melanda tanah berongga,
rumah nan elok patahlah tangga.

Penyu gergasi dihempas gelombang,
terdampar lesu diangkat orang,
beratus kilo berat ditimbang,
di Selat Sunda tampak cengkerang.

Amaran tsunami tidak berfungsi,
sekelip mata hilang ditangisi,
insan tersayang tiada di sisi,
sebuah kereta terbalik di lokasi.

Ombak besar di Pantai Anyer,
Lampung Selatan dinaiki air,
bulan penuh bagai menzahir,
Hotel Grand Elti dinaiki air.

Gunung berapi Anak Krakatau,
punca utama kini dipantau,
warga Malaysia seorang perantau,
turut tercedera sedang dipantau.

Tsunami di Banten satu tragedi,
angka terkorban semakin tinggi,
gunung berapi punca terjadi,
mangsa yang hilang masih dicari.

Sungguhlah pilu rasa di hati,
keluarga yang hilang ditunggu dinanti,
biar bertemu bercerai mati,
terus berdoa tiada henti.

Mari sahabat kita membantu,
hulur sumbangan sekadar mampu,
serumpun bangsa tetap bersatu,
sama diduga saling membantu.

Sampai di sini syair dinukil,
semoga tiada apa yang musykil,
marilah kita merenung fikir,
mengambil ibrah sambil berzikir.

Ampun dan maaf hamba pohonkan,
cukup di sini rasa dizahirkan,
jikalau ada sebarang kekhilafan,
sudi kiranya diperbetulkan.

Akhirul kalam mohon berundur,
syukurlah kita dipanjangkan umur,
kalimah syahadah sebelum tidur,
nyenyak hendaknya lena di kasur.

Jerantut, Pahang, Malaysia, 26 Dis 2018, 1:00 pagi.

5.07.

Gurindam:
ADA PUN

Ada pun kebaikan kita lakukan,
itulah kelak amal kebajikan.

Ada pun kita banyak berbudi,
rundukkan diri seumpama padi.

Ada pun kita petah bertutur,
terkadang kala tidak teratur.

Ada pun tenang tampak di wajah,
riak di hati ombak menerjah.

Ada pun al-Quran kalamnya Allah,
jarang dibaca sering tersalah.

Ada pun hidup banyak diuji,
hikmah-Nya Allah indah disaji.

Ada pun mati suatu ketentuan,
janganlah kita abai kesihatan.

Ada pun akhirat tempat perhitungan,
kehidupan dunia perlu keseimbangan.

Ada pun persoalan perlu jawapan,
tanpa jawapan hikmah tersimpan.

Jerantut, Pahang, Malaysia, 20 Nov 2018, 5:55 ptg.

5.08.

DANSA ILALANG

Dan ilalang pun berdansa
antara danau dan gunung
membawaku melontar pandang
menyaksikan bunga-bunga kering
terawang-awang berterbangan
melayah ditiup angin perubahan
tatkala 9 Mei 2018 bertamu
demi mencari sinar baharu
untuk hidup selesa
seperti dedalu memanjat pohon
menumpang paut tiada malu
demikian ilalang goyah bertahan.

Jerantut, Pahang, Malaysia, 20 Dis 2018, 7:29 mlm.

5.09.

MENTARI RETAK DI BIRAI OMBAK

Di birai ombak
akulah sang mentari retak seribu
terbelah menyisa cahaya pudar
menyisih sepi tanpa jejak
tinggalkan malam berteman kejora
agar senyum menguntum makna
biar luka ditekat embun
ilusi bersiulan ritma mimpi
menyirna pesona wajah
membenam bundar pancaindera
pada goresan luka
dihempas gelora jiwa.

Jerantut, Pahang, Malaysia, 12 Nov 2018, 12:24 Pagi.

5.10.

Kuatren:
MEMBINGKAI KESETIAAN

Hidup berkahwin satu ujian,
iman diduga tiada henti,
sering diuji kesetiaan,
terkadang luluh rasa di hati.

Galas amanah bertanggungjawab,
sabar fahami sikap pasangan,
akhirat nanti disoal jawab,
memberi nafkah dipandang ringan.

Hidup sentosa saling mengerti,
berbahagia hingga ke Jannah,
sayang pasangan jagalah hati,
hubungan mesra tidaklah punah.

Bertoleransi perlu disubur,
janganlah adab campak ke tepi,
ikhlaskan hati bakti ditabur,
mahligai indah tidaklah sepi.

Jerantut, Pahang, Malaysia, 18 Sept 2018.