4. CT NURZA

Nama sebenar Siti Nur binti Zainal. Nama pena CT Nurza. Berasal dari Jerantut, Pahang Darul-Makmur. Aktif menulis semenjak tahun 1989 sehingga kini. Karya-karya telah banyak diterbitkan di radio RTM, akhbar dan majalah arus perdana (1989-2018). Pernah bertugas sebagai penulis merangkap penolong pengarang majalah iK-Inspirasi Kejayaan Magazine isu 01-12 (Dis 2011-Ogos 2013). Menyertai lebih daripada 100 buah antologi bersama dalam pelbagai genre yang telah pun diterbitkan. Pernah beberapa kali menjadi pemenang utama dalam pelbagai pertandingan mengarang yang dianjurkan oleh radio rtm, akhbar, majalah dan laman sosial FB (1990-2017). Pencapaian terkini, “Pemenang Kedua” peraduan menulis sajak “Jasa Pendeta Za’ba” anjuran grup BeTA IBH (2016),  “Pemenang Kedua” Sayembara Gema Patriotik (genre) “Pantun Berkait” anjuran DBP Niaga (2016), “Johan Sayembara Puisi (genre) Haiku, Syair dan Pantun” anjuran grup SPTA (2016-2017), “Pemenang Saguhati” Sayembara Puisi DSN anjuran grup Dirgahayu Sastera Nusantara PS Numira Temasik (2017), Pemenang terbaik ulasan novel fobia (2017), Pemenang “Fiesta April” Wattpaders Malaysia 2018 “Short Story” (Kategori Paranormal), Pemenang Hadiah Saguhati (Penghargaan) Sayembara Menulis Puisi/Cerpen DPMP/PKPP 2017/2018 kategori cerpen anjuran Dewan Persuratan Melayu Pahang dan Pemenang Sayembara “Halloween Vault” Wattpades Malaysia 2018 “Short Sory” Prompt Pesta Topeng. Antara buku Kompilasi Puisi yang telah diterjemahkan kepada Dwi-Bahasa “The Eternal Storm” – Sekali Air Bah, Selamanya Pasir Berubah terbitan E-magineers (M) Sdn. Bhd. & ITBM (2015) & Antologi Haibun Haiku Melayu berjudul “REGIS” (SPTA). Kini aktif menulis rencana sastera, ulasan buku, travelog kembara serta karya-karya eceran di akhbar dan majalah arus perdana Malaysia. Buku solo 2018, Kumpulan sajak Bak Bakawali, Mineral, Daun Lebar dan Kokila” (Terbitan Jom Sastera). Aktif mengikuti program-program sastera dan budaya bersama grup ZK-Nusantara semenjak 2015 sehingga kini. Jua, aktif berkarya di laman E-sastera.Vaganza ASEAN.

PUISI
4.01. Diari Harapan
4.02. Kuatren: Penangan Mawar
4.03. Pantun Berkait: Tiada Guna Berteman
4.04. Pantun: Disember
4.05. Pantun: Produktiviti
4.06. Pantun: Untuk SN Usman Awang
4.07. Seloka: Kawan Variasi Kawan
4.08. Kejujuran Itu
4.09. Definisi Abjad
4.10. Gurindam: Elakkan Budaya Hutang

4.1.
DIARI HARAPAN

Diariku masih kosong
semenjak hari pertama dibeli
catatan diri masih lagi menyepi
entah apa yang ingin kutulis
entah mengapa aku membeli

Barangkali…
tahun ini diariku penuh teka-teki
setelah harapan silih berganti
cerah bertukar malap
malap menjadi kelam
namun tetap kuberi harapan baharu
hijau warna kehidupan
membiru indah cinta Ilahi
tidak kira ujian mendatang
tatang dan iringi dengan ketabahan
lantaran kecekalan menitip keindahan
melakar gegelang perjuangan
menuntut sejuta kesabaran dan pengorbanan

Diari…
biarkan ia terus tersimpan rapi
menjadi curahan rahsia hati
terapi diri tatkala emosi diuji
segala tangisan ada ceritanya tersendiri.

Jerantut, Pahang, Malaysia, 13 Feb 2019 11:03 pg.

4.2.
KUATREN : PENANGAN MAWAR

Kuntuman mawar semerbak harum,
membuka hati gadis remaja,
durinya tajam bagaikan jarum,
jadi idaman insan dipuja.

Beriring mawar cincin disarung,
di jari manis pujaan hati,
mawar memujuk hati nan murung,
janji sejoli kan ditepati.

Jambangan mawar cetus persepsi,
di taman hati berputik cinta,
rahsia tersirat berbasa basi,
tidak terungkap denganlah kata.

Gementar hati tidak terkata,
bimbanglah kasih tidak berbalas,
malulah untuk bertentang mata,
cari alasan cakap beralas.

Penangan mawar ada yang angau,
tak lena tidur igaunya panjang,
rindu kekasih terigau-igau,
malanglah nasib mata keranjang.

Malaysia, 6 Feb 2019 12:34 pm.

4.3.
PANTUN BERKAIT: TIADA GUNA BERTEMAN

Menguning sena gugur di taman,
cantik banjaran merentang jalan;
apalah guna teman berteman,
jika sindiran jadi amalan.

Cantik banjaran merentang jalan,
darilah Ipoh hingga ke pekan;
jika sindiran jadi amalan,
baik menjauh segera tinggalkan.

Darilah Ipoh hingga ke pekan,
beli seraga buah mengkinang;
baik menjauh segera tinggalkan,
hati terjaga emosi tenang.

Beli seraga buah mengkinang,
bawa ke desa pulut dan sagu;
hati terjaga emosi tenang,
perpaduan bangsa tidak terganggu.

Bawa ke desa pulut dan sagu,
pisang disisir bekal ke paya;
perpaduan bangsa tidak terganggu,
dengan anasir dan fitnah maya.

Jerantut, Pahang, 15 Jan 2019 11:35 pg.

4.4.
PANTUN DISEMBER

Redup pepohon,
mentari sirna;
berganti tahun,
azam ke mana.

Ranting dibakar,
api di lembah;
tahun bertukar
usia bertambah

Kain beragi,
jemur di ampai;
iltizam tinggi,
cita tercapai

26 Nov 2018 .7:33 mlm.

4.5.
PANTUN PRODUKTIVITI

Daun kemboja julur ke tingkap,
tampak bermotif awan silara;
banyak bekerja kurang bercakap,
baru produktif hasil negara.

Tampak bermotif awan silara,
cerah mentari hari meninggi;
baru produktif hasil negara,
jikalau diri beriltizam tinggi.

Cerah mentari hari meninggi,
alam berseri di Alor Janggus;
jika sendiri beriltizam tinggi,
peningkatan diri bertambah bagus.

Alam berseri di Alor Janggus,
mekar kiambang bunganya biru;
peningkatan diri bertambah bagus,
karier berkembang semakin maju.

Mekar kiambang bunganya biru,
buahnya getap di tepi paya;
karier berkembang semakin maju,
ekonomi mantap usaha jaya.

Jerantut, Pahang, 6 Okt 2018 10:21 pg.

4.6.
PANTUN UNTUK SN USMAN AWANG

Dari Kerian ke Kampung Bantal,
bawa bidara dan juga petis;
anak nelayan berjiwa kental,
santun bicara meskipun kritis.

Bawa kekura di dalam guni,
jalan perlahan di pesisiran;
lantang suara tegas berani,
demi pertahan kan kebenaran.

Di pentas karya puisi epik,
naik monorel sampai ke Dengkil;
aktif berkarya sungguh prolifik,
pelbagai genre karya dinukil.

Alam berkabut di Bukit Chandi,
udara nyaman dingin geliat;
lemah lembut sifat peribadi,
insan seniman berjiwa rakyat.

Buah semangka diberi jiran,
alas jerami jatuh berserak;
Dato’ Paduka panggil gelaran,
anugerah rasmi Sultan Perak.

Manis perisa sirap black currant,
jadi hidangan si anak dara;
sungguh berjasa si Tongkat Warrant,
besar sumbangan pada negara.

Jerantut, Pahang, Malaysia, 5 Ogos 2018 11:33 mlm.

4.7.
SELOKA KAWAN VARIASI KAWAN

Apabila kawan makan kawan,
siang malam hati merawan.

Kawan penghasut perangai syaitan,
dalam diam fitnah berjujutan.

Kawan dibantu kaki penipu,
cari sokongan membodek ampu.

Apabila kawan mengaku hebat,
itulah kawan pembawa musibat.

Kawan susah kita membantu,
kita kesusahan kawan melutu.

Mencari kawan tidaklah mudah,
meski berdoa atas sejadah.

Kawan pemiutang suka meminjam,
liat membayar hilang berdiam.

Banyak kawan berjenis kawan,
ada kawan perangai syaitan.

Kawan khianat suka menyengat,
sekali terkena elok beringat.

Kawan penyindir sering meminggir,
duduk berasing mencebik bibir.

Biarlah hidup kekurangan kawan,
kawan beriman diutamakan.

Jerantut, Pahang 10 Julai 2018 8:41 Pagi.

4.8.
KEJUJURAN ITU

Kebencian itu api
kesabaran itu sakti
kebenaran itu bukti
kebatilan itu dusta

Aku tetap mencari kejujuran
kerana kejujuran itu tinggi nilainya
apabila sifat amanah
tertanam di dalam diri
batin sihat dan jernih
Nur di hati terpantul di wajah
lembut, redup, teduh pandangan zahir
ketulusan jiwa memayungi peribadi
itulah keindahan sejati.

Jerantut, Pahang, Malaysia, 17 Nov 2017.

4.9.
DEFINISI ABJAD

C – Cetusan
T – Terinspirasi

N – Nyanyian
U – Untuk-Mu
R – Ratib
Z – Zikir
A – Ar-Rahmaan

Namaku dan namanya
bertaut dalam doa kasih
anak dan ayah
Al-Fatihah.

Jerantut, Pahang, Malaysia, Disember 2017.

4.10.
GURINDAM: ELAKKAN BUDAYA HUTANG

Apabila hutang menjadi tabiat,
membayar hutang pastilah liat.

Apabila hutang sentiasa bertambah,
bilakah diri mahu berubah.

Apabila hutang membebankan orang,
teman yang rapat menjadi kurang.

Apabila hutang tidak dibayar,
tindak-tanduknya menjadi liar.

Apabila hutang jadi keasyikan,
hilanglah hormat saudara dan rakan.

Apabila hutang hanya didiamkan.
kelak diri tak dipedulikan.

Apabila hutang menjadi budaya,
tentulah hidup tak akan kaya.

Apabila hutang sengaja diabaikan,
mati kelak tak disolatkan.

Apabila hutang sudah berakar,
meminta tolong tentulah sukar.

Jerantut, Pahang, 23 Februari 2017 03:16 pg.