2. CIKSERI BANANG

Anak jati kelahiran Johor Bahru, Johor, Malaysia. Bertugas sebagai General Manager di Al Haddad Groups. Seorang motivator khusus keusahawanan dan motivator khusus program motivasi syarikat. Dilantik sebagai Penyelia & Penyelenggara International Marketing bagi Al Haddad Groups semenjak 2012 sehingga saat ini dan sebagai CEO di Ummurahmah Shope & Centre. Mula menghasilkan karya semenjak tahun 2005. Karya-karya pernah terbit di media tempatan seperti akhbar Mingguna Malaysia dan majalah Mingguan Wanita. Seorang jurugambar bebas yang telah menghasilkan sajak-sajak di antologi nasional dan Nusantara. Antaranya antologi Wangian Kembang KONPEN 2018, antologi puisi Pertemuan Sasterawan Nusantara Merekat Retak Cermin Nusantara, antologi Banjarbaru’s Rainy Day, antologi Musim Luruh, dan terbaru antologi Perempuan 3 Wajah. Puisi juga turut disiarkan di majalah Penyair 2018.

PUISI
2.01. Laut Biru
2.02. Khalwat
2.03. Taranum Malam
2.04. Digodam Rasa
2.05. Munajat
2.06. Hakikat
2.07. Gumam
2.08. Musafir
2.09. Senoi
2.10. Aljibra Hati

2.01.
LAUT BIRU

Ombak putih merenda
bergemercing berlari-lari di kaki
gelombang beralun memalu
berdebur, membaur rasa relong dada
hijau membiru indah senyuman
menyimpan misteri paling dalam
lalu siapakah di antara kita yang takut akan tenggelam
sedang laut biru hanyalah gelora emosi
tempat pembaringan mimpi
selalu dipetik menjadi melodi
dinyanyikan dalam lagu
berdeklamasi dalam puisi.

21.0.52018.

2.02.
KHALWAT

Kuukir mahar cinta dari lafaz takdir
sambil menghitung sarat rindu
di bejana hatiku.

Kekasih
tulislah namaku dipintu langit ketujuh
bertinta sutera di kalam hatimu.

lalu sepuhlah nafasku bersama harum kasturi
kala kuhias namamu di dinding kalbuku.

Kekasih
beri padaku kemenangan
dalam kesempitan di titian sirat.

Hagia Sophia Istanbul, 28.05.2018.

2.03.
TARANUM MALAM

Sewaktu lenaku terjaga
berteleku aku dalam termanggu
seakan terdengar suaramu memanggil
bangkitlah wahai jiwa kita bicara tentang cinta
bersyairlah di sepertiga malam
dengan kisah harum Nur Jannah
supaya merdunya nanti
terhantar jauh ke pintu syurga
lalu
aku pun datang kepadamu dengan sarat rindu.

14.06.2018.

2.04.
DIGODAM RASA

Ketika mentari terpadam disimbah hujan
dingin membawa sehingga ke malam
sewaktu bulan lena dalam dakapan
mimpi pun singgah di kamar resah
saat kerlip bintang bertaburan di ranjang gelisah
aku, mencari bayangmu di dada rindu.

18.06.2018.

2.05.
MUNAJAT

Di bawah pohon malam
kuhamparkan harum munajat
dari tenunan rindu yang kugerus
bersama tasbih harap.

dengarkanlah zikir qalbu
sebagai sabda cinta
lewat getar bibir berbisik.

Kekasih
dakaplah hatiku
agar sentiasa di hati-Mu.

22.06.2018.

2.06.
HAKIKAT

Di atas sayap sufi
kuregang nafas di atas
gelepar bara hangat membakar
sirna kemilau fatamorgana
berguguran disambar halilintar
hakikat perlahan-lahan
membenih subur
kesaksian pun tumbuh
memayungi tarikat hati
laraku pergilah
menjauh dibawa angin syurga.

04.07.2018.

2.07.
GUMAM

Seakan masa terhenti
berlegar di setiap ruang pengap
untuk kudengar suaramu
memanggil-manggil aku
dalam deru debar
nanar hati
menghitung rindu tentang kamu.

10.08.2018.

2.08
MUSAFIR

Runut waktu pun hilang
dari siur suara manusia dan kenderaan
aku yang terpengap dalam kamar hinggap
menyingkap helai- helai kesibukkan
menghitung detik saki baki perjalanan
antara urusan dunia dengan Tuhan.

Diam ini terpaksa kucaturkan
dalam mewaraskan akal tenatku
proposal-proposal duniawi
menunggu jawapan
antara peluang dan penyelesaian
aku memilih rehda-Mu Tuhan.

12.08.2018

2.09.
SENOI

Sekeranjang mimpi marhaen
tergeletak
di bucu kaki kehidupan
dilacuri janji
disepak debu-debu pembangunan
dibakar kemajuan
nazak
dan mati seblum mati.

8.09.2018.

2.10.
ALJIBRA HATI

Mencongak aljibra hati
betapa pun cuba ku bundarkan rasa
yang terdekat dan terhampir adalah kamu
di dalam setiap angka pembahagi
lalu, jawapan disetiap hujung bersamaan
adalah pasti
juga
kamu
lalu cinta mana yang harus kuhitung
kecuali milik Dia
sedang jawapannya aku sudah punya
hanya kamu.

Menyusur Selat Riau, 13.09.2018.