10. YAJUK

BIODATA. Nama sebenar penulis ialah Yusoff bin Abdollah. Nama Pena: Yajuk. Email: yusoffbj54@gmail.com. Tarikh lahir: 16 Mac 1954. Alamat: Kg. Bukit Jering, 17610 Kuala Balah, Jeli, Kelantan. Pendidikan: Sek. Kebangsaan Bukit Jering (1961-1966); Sek. Agama Maahad Muhammadi, Kota Bharu (1967-1981); dan Maktab Perguruan Sri Pinang, Pulau Pinang (1975/1976). Menulis karya kreatif, khasnya sajak, di laman www.esastera2u.com bermula 2008. ANUGERAH. Menang beberapa anugerah di majlis Hadiah eSastera.com (HesCom), iaitu Hadiah ke-2, Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) di HesCom 2009 (Kuala Lumpur); Hadiah Pertama, Anugerah Haiku Melayu Alam Siber (AHMAS) di Hescom 2011 (Alor Setar); Hadiah ke-3, Anugerah Soneta Alam Siber (ASMAS) di HesCom 2011 (Alor Setar); Hadiah ke-2, Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) di HesCom 2013 (Bali, Indonesia); Hadiah Sagu Hati, Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) di HesCom 2014; Hadiah Pertama, Anugerah Travelog International di HesCom 2015; Hadiah ke-3, Anugerah Soneta Alam Siber (ASMAS) di HesCom 2015; Hadiah ke-2, Anugerah Rubaiyat Alam Siber di HesCom 2015; dan Hadiah ke-3, Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) di HesCom 2015. BUKU. Penulis juga telah menerbitkan karya berbentuk buku dalam pelbagai judul, iaitu antologi sajak: Musibah Gempa Padang (Esastera Enterprise, 2009); antologi soneta: Pepohon Perteduhan Cinta (Esastera Enterprise, 2011); kumpulan sajak: Sejalan Tak Sehaluan (Esastera Enterprise, 2012); antologi sajak: Ana (Esastera Enterprise, 2012); antologi sajak: E-Loka (Esastera Enterprise, 2012); antologi sajak: E-Loka II (Esastera Enterprise, 2013); antologi puisi: Koleksi Puisi (Balai Seni Visual Negara, 2012); kumpulan sajak: Menyulam Merdeka (Esastera Enterprise, 2014); kumpulan sajak: Suara Orang Terbuang (Kaukab, 2015); secatatan penulis, Esastera Kembara Bali (Esastera Enterprise, 2014); antologi puisi Sirah Rasulullah Dalam Puisi Siber (Esastera Enterprise, 2015); dan antologi sajak: Bahtera Peradaban (Peradaban, 2016).

PUISI
10.01. Tangan Puisi
10.02. Kita Terus Menari
10.03. Pelayar Malam
10.04. Tabir Malam
10.05. Kelkatu Lepas Hujan
10.06. Riak Cahaya Mentari Senja
10.07. Ribut
10.08. Ayam Sabung
10.09. Mabuk Secawan Kopi
10.10. Malaikat Sepi

10.01.
TANGAN PUISI

Tangan puisiku patah
Dalam getar suara guruh
Runtuh dari langit geruh
Aku menulis puisi di hati
Untuk diri yang hanya dapat kubaca sendiri.

Titik-titik hujan menitis di pipi
Pedih meresap ke hati
Memaksaku menyepi
Mematahkan tangan puisi.

Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 26.01.2018.

10.02.
KITA TERUS MENARI

Kita menari saja
separuh gila
mengikut rentak
terus kita menari
biar koyak rabak
terbuai siul biola
terliuk gesekan gamelan
tak pernah kita berhenti
bertanya pada diri
apa sedang kita cari
apa sedang kita lalui
lalu kenapa kita terus menari
tak peduli semak dan duri
taman permainan telah bertukar wajah
Hanya layak jadi taman safari.

Apakah ada pilihan?
tanpa mengerti
kita terus menari.

Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 6.12.2018.

10.03.
PELAYAR MALAM

Pelayar malam
Menyongsong kegelapan
Membaca gerak kerlipan bintang-bintang
Biar gelombang merempuh buritan
Kiri dan kanan tegal bertahan
Harapan hanya pada Tuhan
Cahaya iman tidak terpadam.

Pelayar malam
Teroleng kemabukan
Dilambung ombak rasa
Meminum sarbat dan manisan
Mutiara terdalam
Kalam Tuhan

Pelayar malam
Sentiasa penasaran
Menikmati kerlipan bintang-bintang
Mengutip sir keagongan Tuhan
Karam dalam af’al,sifat dan zat yang Maha esa
Meruntuhkan segala maujud.

Pelayar malam
Tidak pernah kewalahan
Menyelusuri jalan tarikat
Mentakrif hakikat
Menjejak makrifat
Melengkapkan syariat.

Pelayar malam
Adalah diri
Penjejak hakiki.

Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 1.12.2018.

10.04.
TABIR MALAM

Kau pun pergi
Setelah segalanya terhenti
Hari-hari tidak lagi bermentari
Cahayanya mati
Kerana mata tidak lagi terbuka
Menganyam warna
Mekar hanya senyuman
Bersama kenangan
Masam manis
Terkunci di hati
Aku terus bermimpi.

Tabir malam memisahkan kita
Aku terpenjara di teduh waktu
Senja yang kehilangan pelangi
Melatari mimpi
Aku terdiam dalam rindu yang bisu
Mencari mutmainnah dan redha
Demi hidup yang hakiki.
Di alam abadi.

Tabir malam memisahkan kita
Kau pergi untuk tidak kembali
Aku terkurung dalam kegelapan
Untuk berlari ke sana ke mari
Tercari-cari hakikat diri
Sambil menanti dijemput Ilahi.

Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 19.12.2018.

Alfatihah buat arwah isteriku Ramlah Rashid yang telah dijemput Ilahi pada 19/12/2012.

10.05.
KELKATU LEPAS HUJAN

Kelkatu lepas hujan
Berbondong meninggalkan sarang
mereput dan runtuh
Dipenuhi selut dan lumpur
Kelkatu tak mampu bertahan
Di luar ada cahaya bersinar terang
Kelkatu mencari-cari alasan untuk terbang

Rumah agam tersergam indah
Kaya dan mewah
Lampu beraneka warna
Memancarkan cahaya
Kelkatu tak mampu menahan godaan
Cahaya menyilaukan mata dan hati
Terbang hinggap menumpang cerah
Tak mengapa jika kepanasan
Biar akhirnya terkapar rebah
Mengaku kalah menggadai maruah.

Kelkatu tinggal gundah
Kehilangan arah
Sarang telah punah ranah
Tak mampu tegak bermaruah

Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 15.12.2018.

10.06.
RIAK CAHAYA MENTARI SENJA

Teroleng kolek diri
Meniti resah ombak
Di kala mentari makin condong
Menyongsong cahaya senja
Memutar tasbih diri
Mengiringi debur dan zikir ombak
Di pantai hati tak bertepi.

Terbangun aku
Mencari bayangan diri
Yang terhenti di bingkai malam
Dalam qiam dan sujud
Dalam tafakkur dan doa
Menyuluh waktu terasing
Berteman Munkar dan Nankir
Di waktu Malikil Maut menjemput pulang.

Hanyut aku dalam irama ombak
Cahaya senja menari manja
Ombak terus mengusap pantai
Aku menanti dalam redha dan syukur.

Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 19.11.2018.

10.07.
RIBUT

Ribut melanda tiba-tiba
Bertimpa-timpa di hujung senja
Meruntuhkan bumbung
Menerbangkan atap
Mewariskan kalut
Memaksaku bergelut
Aku kehilangan tempat berteduh
Keletihan,basah dan resah
Menggigil dingin dalam ribut berpanjangan.

Pohon-pohon tumbang di jalanan
Dahan patah bersimpang kalang
Menyekat laluan kiri dan kanan
Aku terkurung dalam kepayahan
Ketakutan dan kebimbangan
Tidak mampu untuk bangkit berdiri
Sendiri melenyapkan ngeri
Hanya bermunajat menanti
Mengharap hari kembali bermentari
Bumbung yang runtuh bertukar ganti.

Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 10.02.2019.

10.08.
AYAM SABUNG

Fitrahnya ayam jantan
Borkokok siang dan malam
Apa lagi ayam sabong
Tetap berkokok walau paruhnya pecah
Dan tajinya patah
Pantang dia memijak gelanggang
Kokoknya menggegar awan
Menundukkan ayam betina di reban.

Setiap malam taji yang patah diasap kemenyan
Paruh yang pecah disembur pewangi
Mahunya mengaburi mata
Yang sememangnya buta
Kerna disuap telur berjuta
Tapi paruh dan taji tak mungkin dicantum kembali
Paruh bersalut najis dan nanah
Taji bergumpal benang basah
Tak mungkin lagi tegak berdiri
Di sana reban berkunci sedang menanti
Dia tak mungkin lagi bebas berlari.

Ayam sabong
oh ayam sabong
Berapa harganya?
Tanpa paruh dan taji.

Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 6.02.2019.

10.09.
MABUK SECAWAN KOPI

Pahit dan manisnya
Digilai tak terkecuali
Putera dan puteri
Raja dan permaisuri
Menyesakkan nafas semua orang
Umpama semut yang rela mati
Merebutkan manis
Lalu bermusuh sesama sendiri
Memutuskan silaturrahim
Memuntahkan api hasad dengki
Membakar seluruh negeri.

Langit dipenuhi asap kelabu
Secawan kopi menjadi lautan tak bertepi
Dipenuhi ombak dan gelombang tinggi
Pahit manisnya menjadi gula-gula yang memabukkan
Menghadang perjalanan
Memesungkan kiblat
Tak terkecuali para ulama
Pemilik berjuta kitab.

Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 8.02.2019.

10.10.
MALAIKAT SEPI

Malaikat sepi di hati
Menanti dan memerhati
Dalam angkuh dan sombong
Dialah yang tunduk malu
Menghisab diri
Menginsafi rupa diri,
Dalam kemabukan dan lalai
Dialah yang sedar
Mengirimkan cahaya di hati
Untuk melihat diri yang hakiki
Dia bagai kunang-kunang
Menampakkan diri di malam hari.

Malaikat sepi
Menanti di jalan kiri
Mengingatkan diri
Jangan terantuk terus berlari
Tapi segera membersihkan hati
Mencari reda Ilahi
Kembali meniti siratulmustakim.

Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 6.02.2019.