10. M.S. RINDU

BIODATA. M.S. Rindu (Mohamed Salleh Lamry) lahir  di Kuala Selangor pada 22 September 1942,  memiliki  Ijazah   Ph.D dari UM (1989). Beliau memulakan kerjaya sebagai guru sekolah rendah, sebelum bertugas   sebagai  pensyarah   Antropologi dan Sosiologi  UKM (1978-2003). Beliau   pernah menulis cerpen dan  sajak    pada tahun 1960-an, tetapi  tidak meneruskannya ketika  bertugas sebagai  pensyarah. Selepas bersara dari UKM,  beliau memberi tumpuan kepada penulisan biografi. Buku  biografi beliau yang terakhir, Biografi   Ishak Shari: Pemimpin Bumi Semua Manusia (Penerbit UKM, 2014) telah memenangi HSPM  bahagian biografi bagi tahun 2014. Beliau menulis cerpen   dan sajak kembali mulai 2016,  yang telah diterbitkan  dalam pelbagai antologi bersama.

PUISI

10.01. Seorang Ratu
10.02. Cintaku Jauh Di Kota
10.03. Cinta Gadis Medan
10.04. Cinta Gadis Banjar
10.05. Hidup Sederhana
10.06. Tanah Airku
10.07. Aku Ingin Dekat Denganmu
10.08. Ibu Yang Kesunyian.
10.09. Bandar Melayu
10.10. Komunis Islam (Rashid Maidin)

10.01.

SEORANG RATU

Ia seorang ratu
dari negeri di atas angin
seorang dara  yang masih muda
dan cantik jelita.

Entah bagaimana
ia bertemu seorang raja
yang sudah agak tua
dan seorang duda.

Mereka berbeza bangsa
dan berlainan agama
dan untuk berkahwin
si ratu mesti  mengikut agama si raja.

Memang sukar dimengerti
bagaimana seorang gadis
yang biasa hidup bebas
mengikut budaya bangsanya
mahu hidup terpenjara
dalam sebuah istana
mengikut agama suaminya.

Tapi begitulah adat dunia
Pangkat, kemewahan  dan harta
boleh menaklukkan seorang wanita
supaya jatuh cinta
dan mahu menukar agama
 serta  mengubah cara hidupnya.

Kajang,  Disember 2018.

10.02.

CINTAKU JAUH DI KOTA

Cintaku jauh di kota
kerana ia  lama menetap di kota
dan telah jadi gadis kota
meskipun berasal dari desa.

Aku tidak boleh mengharapkan
ia masih suci
mengikut ukuran lama
kerana di kota
ia bebas berkawan dan berkasih
dengan siapa saja.

Ia mungkin sudah disentuh
oleh ramai lelaki
yang menjadi pasangannya
sebelum aku mengenalinya.

Ia juga 
mungkin memandang pangkat dan harta
seperti lazimnya adat dunia
dan aku tidak boleh merasa kecewa
jika satu masa
aku akan ditinggalkannya.

Kajang, Mei 2017.

10.03

CINTA GADIS MEDAN

Abang di Bangi adik di Medan
Orang Padang pulang ke Padang
Meskipun  kita berjauhan
Cintaku hanya kepada abang.

Abang di Bangi adik di Medan
Tanjung Pura tanahnya rendah
Walau halangan seluas lautan
Cintaku tidak akan berubah.

Abang di Bangi, adik di Medan
Di Prapat kita bertemu
Selagi ada hayat di badan
Selama itu adik menunggu.

Dari Medan ke Kuala Nano
Kapal berlabuh di Kuala Deli
Jika adik mati dahulu
Di pintu syurga abang kutunggu.

Kajang, April 2017.

10.04.

CINTA GADIS BANJAR

Banjarmasin banyak sungainya
Empat lima jukung berlalu
Abang jauh di Malaysia
Entah bila dapat bertemu.

Orang Banjar mandi di kali
Jukung berlabuh di air tenang
Jika abang tidak ke mari
Adik sentiasa terkenang-kenang.

Dari Banjar mudik ke hulu
Kapal berlabuh di kaki gunung
Aduh sakitnya  menahan rindu
Rasa tak tahan badan menanggung.

Banua Lima jauh di  hulu
Di Banjarmasin kapal menanti
Seribu tahun abang ku tunggu
Adik tidak berubah hati.

Kajang, Oktober  2018.

10.05.

HIDUP SEDERHANA

Aku tinggal di rumah teres
pakai kereta Proton Saga
sekali sekala naik taksi
tiada masalah
untuk pergi ke mana-mana.

Aku ada sedikit simpanan
di ASB dan Tabung Haji
untuk keperluan masa tua
dan untuk naik haji
bila giliranku tiba.

Sekali sekala aku melancong
di dalam negeri
dan di  luar negeri
tetapi hanya di negara jiran
bersama keluarga tercinta.

Memang sudah lama
aku hidup sederhana
tapi aku gembira
dan  tidak pernah merasa takut
jika satu waktu
pegawai SPRM akan datang
menyerbu rumahku.

Kajang, Mei 2017.

10.06.

TANAH AIRKU

Dulu tanah airku
bernama Tanah Melayu
penduduknya hanya satu bangsa
bangsa Melayu.

Kini di tanah airku banyak pendatang
yang  telah  menjadi warga negara
dan jadilah tanah airku
sebuah negara berbilang bangsa.

Kini tanah airku telah bertukar nama
menjadi negara Malaysia
dan diharapkan  penduduknya
menjadi satu bangsa baru
bernama bangsa Malaysia.

Tapi bangsa Malaysia
masih dalam pembentukan
masih  menjadi bayangan dan impian
dan masih jauh dari menjadi   kenyataan.

Hanya harapanku
dalam satu jangka masa
yang tidak  pasti sampai bila
penduduknya boleh hidup bersama
dalam aman dan damai
dalam sebuah negara
yang penduduknya masih berbilang bangsa.

Kajang, Oktober 2016.

10.07.

AKU INGIN DEKAT DENGANMU

Aku lahir
dalam keluarga yang tidak taat beragama
dan sehingga remaja 
aku  memang jauh darimu.

Memang aku tidak terlibat  dengan dosa besar
tapi banyak amalan fardu ain
yang kuabaikan begitu saja
tanpa rasa  bersalah..

Syukur Alhamdulillah
dengan rahmatmu
 dan dengan peningkatan usiaku
hatiku terbuka
untuk mendekatkan diri denganmu.

Aku ingin menjadi hamba yang beriman
yang sentiasa dekat denganmu
patuh kepada perintahmu
dan menjadi hamba yang bertakwa.

Berilah aku petunjuk ya Allah
supaya aku terus  berada
di jalan yang lurus
dan  sentiasa dekat denganmu
sehingga akhir hayatku.

Kajang, Jun 2016.

10.08.

IBU YANG KESUNYIAN

Seorang ibu tua
selalu terkenangkan  anaknya
meski baru semalam
si anak mengunjunginya.

Baru seminggu berlalu
 sudah terasa begitu lama
alangkah inginnya dia
si anak menelefonnya.

            Tapi si anak tidak tahu
             atau mungkin juga
             tidak pernah merasa
apa yang dirasa oleh  ibunya.

Mungkin juga si anak
tidak pernah merasa dekat
dengan si ibu yang  menyayanginya
yang selalu kesunyian
di hujung usianya.

           Di puncak kesunyiannya
seorang ibu tua
tidak dapat menahan air matanya
kerana telefon yang ditunggu
tidak kunjung tiba.

Kajang, November 2018.

10.09.

BANDAR MELAYU
(Bandar Baru Bangi)

Tidak banyak bandar seperti bandar ini
sebuah bandar baru
yang  majoriti penduduknya  bumiputera
dan banyak pusat niaga
di mana peniaganya
juga  bumiputera.

Alangkah bahagianya berkunjung ke bandar ini
melihat bumiputera  memiliki rumah yang cantik
dan menempati pusat niaga
yang sedang berkembang maju.

Bandar ini lahir dari satu perancangan
dan  visi pemimpin yang  jauh  ke hadapan
ia tidak muncul
secara tiba-tiba.

Alangkah baiknya
bandar baru seperti ini
dibina  lagi di tempat lain
supaya lebih banyak bumiputera
berpeluang tinggal dan berniaga
di kawasan bandar baru
yang moden dan maju.

Kajang, April 2017.

10.10.

KOMUNIS ISLAM (RASHID MAIDIN)

Kau mula dikenali
sebagai seorang komunis
apabila akhbar melaporkan
kau adalah antara delegasi
dalam rombongan ke London
untuk menghadiri satu persidangan.

Kau menjadi lebih terkenal
apabila rundingan Baling diadakan
 gambarmu terpampang di akhbar
sebagai seorang  komunis Melayu
yang mewakili  partimu .dalam perundingan.

Selepas itu kau menghilangtapi terus berjuang
dalam hutan di Selatan Thailand
dan kau  hanya muncul kembali
dalam perundingan perdamaian
antara PKM  dengan kerajaan.

Apabila PKM meletakkan senjata
kau memilih menetap di Thailand
kau naik haji 
dan  menjadi seorang guru mengaji
sehingga akhir hayatmu.

Kau tetap seorang Islam
dan tidak pernah membuang Islam
walaupun  bertahun bersama PKM.

Kau mati di dalam Islam
kerana kau seorang komunis Islam.

Kajang, Februari 2019.

TAMAT.