6. M.S, RINDU.

BIODATA. M.S. Rindu (Mohamed Salleh Lamry) lahir di Kuala Selangor pada 22 September 1942,  memiliki  Ijazah   Ph.D dari UM (1989). Beliau memulakan kerjaya sebagai guru sekolah rendah, sebelum bertugas   sebagai  pensyarah   Antropologi dan Sosiologi    UKM (1978-2003). Beliau   pernah menulis cerpen dan  sajak    pada tahun 1960-an, tetapi  tidak meneruskannya ketika  bertugas sebagai  pensyarah. Selepas bersara dari UKM,  beliau memberi tumpuan kepada penulisan biografi. Buku  biografi beliau yang terakhir, Biografi Ishak Shari: Pemimpin Bumi Semua Manusia (Penerbit UKM, 2014) telah memenangi HSPM  bahagian biografi bagi tahun 2014. Beliau menulis cerpen dan sajak kembali mulai 2016,  yang telah diterbitkan  dalam pelbagai buku antologi.

PUISI
6.01. Hang Tuah Dan Hang Jebat
6.02. Surat Tuah Kepada Teja
6.03. Mat Indera Yang Tidak Mati
6.04. Pemimpin
6.05. UMNO Yang Sudah Tua
6.06. Runtuhnya Sebuah Rejim
6.07. Rasuah
6.08. Hospital
6.09. Kampungku
6.10. Orang Tua Di Desa

6.01.
HANG TUAH DAN HANG JEBAT

Hang Tuah dihukum mati
tanpa usul periksa
hanya kerana fitnah
yang dipercayai  oleh raja.

Hang Jebat tampil membela
Hang Tuah yang tidak bersalah
kerana menjunjung tinggi
nilai persahabatan mereka.

Tapi Hang Tuah memilih
menjunjung titah raja
untuk menghapuskan Hang Jebat
yang dianggap telah derhaka.

Tindakan Hang Tuah dianggap benar
berasaskan nilai pada zamannya
tapi jika zaman telah berubah
dan nilai turut berubah sama
mungkin ada penilaian baru
siapa benar, siapa salah.

Kajang, Oktober 2018.

6.02.
SURAT TUAH KEPADA TEJA

Maafkan aku, Teja
aku tidak dapat mencintaimu
walau aku tidak mampu berdusta
hatiku bukan tidak terpesona
oleh kecantikanmu.

Aku sudah lama tahu
kau diminati oleh rajaku
tidak mungkin aku menyuntingmu
sedangkan aku adalah hambanya.

Jadi jika dihatimu
ada rasa cinta untukku
mohon lupakan saja
kerana kau bukan untukku.

Sebagai anak Bendahara
tempatmu memang di sisi Sultan
apalagi kau gadis rupawan
wajarlah menjadi penyeri istana.

Aku hanya seorang hamba
yang ingin berbakti untuk rajaku
jadi relakanlah perpisahan ini
untuk kebaikan kita bersama.

Kajang,  Disember 2018.

6.03. MAT INDERA YANG TIDAK MATI

Dalam arus perjuangan kemerdekaan
kau  ikut berjuang di jalan kiri
bersama PKMM dan API.

Bila parti kiri diharamkan
kau bergerila di hutan belantara
demi perjuangan yang perlu diteruskan.

Kau berhak membuat pilihan
dan dalam perjuangan kemerdekaan
jalan  yang  kau pilih
tidak semestinya satu kesalahan.

Kau patriot dan nasionalis sejati
yang menyerahkan jiwa dan raga
untuk kemerdekaan bangsa tercinta.

Kau dikhianati oleh kawan sendiri
yang menangkapmu atas arahan penjajah
dan kau dihukum mati.

Tapi di hati kami
kau tidak mati
kau sentiasa dikenang dan diingati
sebagai pejuang sejati
yang sedia  berkorban
untuk ibu pertiwi.

Kajang, Februari 2016.

6.04.
PEMIMPIN

Alangkah indahnya
sebuah gunung di kejauhan
yang tinggi menjulang awan.

Tidak  kelihatan
ia hanya tanah dan batu
yang kotor dan berdebu.

Semua orang terpesona
dengan keindahannya
kerana dari jauh
tidak kelihatan keburukannya.

Begitulah seorang pemimpin
yang  sedang bertakhta
di puncak kuasa
dan tentunya punya karisma.

Ia kelihatan begitu agung
begitu mempesona
hampir kita tidak menyedari
ia hanya insan biasa
yang ada   kelemahan dan kekurangan
jika kita tidak melihatnya
dari jarak yang berdekatan.

Kajang, Oktober 2018.

6.05.
UMNO YANG SUDAH TUA

Dalam usiamu yang panjang
kau  memang pernah berjasa
memerdekakan negara
dan membangun bangsa.

Tapi di usiamu yang sudah tua
kau telah kehilangan idealisme
telah kehilangan hala tuju
dan tidak tahu hendak pergi ke mana.

Rakyat bukan tidak melihat
para pemimpin di peringkat atasan
mahu berkuasa selama mungkin
sambil mengumpul kuasa dan harta.

Rakyat akan meninggalkanmu
kerana tidak mampu lagi bertahan
dalam  sebuah  parti tua
yang tidak lagi mampu
memberi  pimpinan dan harapan.

Kajang, Jun 2018.

6.06.
RUNTUHNYA SEBUAH REJIM

Siapakah yang menyangka
sebuah rejim yang begitu berkuasa
dan sudah enam dekad usianya
boleh diruntuhkan  dalam  satu pilihan raya.

Memang rejim itu banyak berjasa
membawa pembangunan untuk rakyatnya
tapi itu  adalah  satu kewajipan
dan tidak semestinya dikenang dan diberi pujian.

Rejim lama tidak dapat bertahan
jika sudah kehilangan legitimasi
kerana pemimpin menyalahgunakan kuasa
 dan rakyat hidup sengsara.

Rejim lama  telah diruntuhkan
oleh kuasa rakyat jelata
dan rakyat memberi sokongan
kepada rejim baru yang  memberi harapan.

Kajang,  Oktober 2018.

6.07.
RASUAH

Satu perbuatan yang  salah dan berdosa
mungkin tidak dilihat besar salahnya
jika tidak dilakukan secara terbuka
dan ramai pula yang melakukannya.

Demikianlah dari masa ke masa
rasuah berlaku tapi tidak ketara
di sektor awam dan swasta
melibatkan pegawai rendah dan atasan.

Kini sudah terang dan nyata
rasuah akan merosakkan negara
kerana yang  terlibat bukan lagi ikan bilis
tapi banyak jerung besar
yang rasuahnya mencecah ratusan juta.

Sayang ajaran agama tidak mampu mencegahnya
kerana hukuman selepas mati
mungkin tidak lagi ditakuti
maka  hukuman yang berat dan tindakan yang tegas
di dunia ini juga
memang perlu dilakukan
supaya  rasuah dapat dibanteras.

Kajang, April 2017

6.08.
HOSPITAL

Dahulu hospital tidak sesak
kerana  banyak   bomoh tempat berubat
dan ramai orang kampung  tidak ke hospital
kerana hospital jauh di kota.

Kini keadaan sudah berubah
hospital  ada  di mana-mana
orang kampung pun boleh  ke  doktor
dan tidak perlu lagi berjumpa bomoh.

Memang  perubatan alternatif masih ada
bomoh masih  berfungsi
perubatan Islam pun ada di mana-mana
tapi perubatan moden lebih diyakini.

Sayang hospital swasta sangat mahal
maka hospital kerajaan menjadi tumpuan
penuh sesak sepanjang hari
dan khidmatnya mesti selalu diperbaiki.

Kajang, Januari 2019.

6.09.
KAMPUNGKU

Kampungku jauh di hulu
tapi tidak lagi terpencil
kerana ada jalan raya
yang jadi penghubung
dengan pusat kota.

Kampungku sudah membangun
kemudahan asas sudah lengkap
tidak lagi mundur dan tertinggal.

Tapi penduduknyalah  yang berkurangan
kerana banyak anak  muda
sudah berhijrah ke kota
mula-mula belajar, kemudian bekerja.

Kampungku jadi kampung orang tua
dengan sedikit anak muda
yang tidak mahu bekerja
atau tidak berpeluang bekerja di kota.

Mungkin ini satu perubahan
yang tidak dapat dielakkan
bila kampung semakin maju
dalam era pembangunan.

Kajang. Jun 2017

6.10.
ORANG TUA DI DESA

Alangkah  sepinya  hidup orang tua di desa
yang  ditinggalkkan anak  yang berhijrah ke kota
apalagi jika tinggal seorang diri
kerana pasangannya telah lama pergi.

Alangkah rindunya orang tua di desa
terhadap anak yang tinggal di kota
tapi hanya pulang sebulan sekali
atau  hanya  pulang ketika hari raya.

Alangkah malangnya nasib orang tua di desa
yang hidup tanpa pembantu
yang makan minum terpaksa diuruskan sendiri
dan sakit pening terpaksa ditanggung sendiri
tapi suratan nasib sudah menentukan begitu.

Kajang, April 2017.